KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi jaminan keseluruhan struktur dan operasi organisasi perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak terjejas susulan penahanan lima pegawai kanannya atas dakwaan membocorkan maklumat operasi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerana organisasi perisikan ATM mempunyai sistem pengasingan maklumat atau compartmentalisation of information.
Mengulas lanjut, katanya ia bermakna pangkalan data dan maklumat strategik diasingkan secara terancang bagi mencegah berlakunya kebocoran maklumat, selain ATM juga sentiasa melaksanakan audit keselamatan dalaman.
“Ini termasuklah pelaksanaan semakan latar belakang atau security vetting terhadap pegawai dan anggota, serta usaha berterusan untuk memperkukuh nilai integriti dan profesionalisme dalam kalangan pegawai perisikan di bawah organisasi ini.
“Usaha itu sekali gus dapat mengurangkan risiko pendedahan anggota perisikan kepada cubaan manipulasi dan unsur eksploitasi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan, khususnya mereka yang cuba melindungi kegiatan jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi MINDEF di Dewan Negara semalam.
Media sebelum ini melaporkan penahanan lima pegawai kanan ATM oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barangan larangan seperti dadah.
Mereka termasuk berpangkat Leftenan Kolonel ditahan di sekitar Lembah Klang melalui Op Sohor digerakkan SPRM, kerana dipercayai membocorkan maklumat kepada sindiket penyeludupan di perairan Selat Melaka hingga Johor.null
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata lima pegawai kanan ATM yang ditahan SPRM itu telah digantung tugas untuk memberi ruang kepada penyiasatan lebih telus dan bebas.
“MINDEF tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku yang melibatkan pegawai terbabit sekiranya mereka didapati bersalah,” katanya.
Tambah Mohamed Khaled lagi, semua maklumat sulit pertahanan negara dikawal rapi melalui prosedur keselamatan yang ketat, termasuk penggunaan rangkaian komunikasi tertutup dan sistem yang selamat, manakala kawalan akses berlapis, penggunaan teknologi enkripsi serta pemantauan rangkaian secara berterusan turut dilaksanakan.
“Dengan itu, Kementerian Pertahanan memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan negara masih lagi terkawal, tidak terancam dan tidak tergugat,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Mohamed Khaled berkata MINDEF sedang merancang libat urus dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membuka ruang penglibatan veteran ATM dalam penugasan keselamatan di sekolah serta pejabat pendidikan di seluruh negara.
Beliau berkata, buat masa ini MINDEF melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi pengambilan veteran ATM sebagai warden luar asrama.
“Sebagai permulaan, dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) iaitu MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang telah memulakan projek rintis dengan melantik lapan warden luar asrama. Ini merangkumi dua lelaki dan dua wanita pada setiap MRSM.
“Kementerian sentiasa meneroka pelbagai inisiatif lestari dan mampan untuk memperkasakan kesejahteraan veteran ATM, termasuklah penyediaan kerjaya kedua kepada mereka,” katanya.-BH Online