KUALA LUMPUR: Malaysia belum menerima sebarang pemakluman daripada Amerika Syarikat (AS) mengenai pencalonan Duta Besar AS yang baharu ke negara ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ketika ini beberapa calon Duta Besar AS sedang dalam proses tapisan dalaman, termasuk perlu mendapatkan pengesahan Senat negara berkenaan.
Beliau berkata, pelantikan mana-mana duta juga memerlukan persetujuan rasmi (agrément) daripada negara penerima selaras Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik.
“Setakat ini, Kerajaan Malaysia masih belum menerima apa-apa pemakluman daripada pihak AS, mengenai pencalonan Duta Besar AS ke Malaysia yang baharu.
“Dalam hal ini, selagi perkara itu tidak disampaikan secara rasmi kepada Kementerian Luar, belum ada keperluan untuk kita memulakan proses pertimbangan agrément ini.
“Pada peringkat ini, pencalonan beberapa Duta Besar AS yang baharu termasuk ke Malaysia, masih dalam proses tapisan dalaman mereka sendiri.
“Ini termasuk proses pengesahan oleh Senat AS, yang sehingga kini masih belum ditetapkan tarikh pendengaran dan pengundian,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di Parlimen semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Mohd Hasbie Muda yang meminta Wisma Putra menyatakan pendirian rasmi Malaysia berhubung pencalonan Nick Adams sebagai Duta AS ke Malaysia sehingga mencetuskan bantahan awam di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, apabila permohonan untuk agrément diterima, ia akan diteliti secara objektif oleh Kerajaan Malaysia.
Beliau berkata, penelitian itu berdasarkan penilaian menyeluruh dalam konteks kepentingan strategik hubungan negara ini dengan AS di bawah kerangka Perkongsian Komprehensif.
“Pada peringkat itu, kita akan mengambil pendekatan untuk tidak membahaskan mengenai pencalonan duta asing di khalayak umum.
“Ini selaras dengan protokol diplomatik dan perundangan antarabangsa berkaitan, yang menuntut aspek kerahsiaan dalam memperhalusi pencalonan mana-mana duta asing, demi menjaga hubungan baik dengan negara berkaitan.
“Dalam apa juga keadaan, saya tegaskan Malaysia terus komited mengekalkan hubungan baik dengan AS,” katanya.-BH Online
