Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BEIJING: Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dunia di sela Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 di Tianjin, bagi membincangkan usaha menamatkan konflik di Myanmar serta Gaza.

Bercakap kepada media pada akhir lawatan empat harinya ke China, Perdana Menteri berkata, walaupun Malaysia bukan negara anggota SCO, kehadiran pada sidang kemuncak itu atas jemputan Presiden China, Xi Jinping, sebagai tetamu khas untuk menyuarakan pandangan mengenai isu semasa.

“Saya mengadakan beberapa pertemuan ringkas dengan pemimpin dunia yang hadir bagi membincangkan beberapa perkara, termasuk cara menamatkan konflik dan mencapai keamanan di Myanmar, sebelum Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) meneruskan perbincangan,” katanya.

Anwar berkata, beliau turut bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bagi membincangkan kerjasama dua hala, selain berinteraksi dengan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov.

“Saya juga bertemu Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly, untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan terkini berhubung Gaza.

“Ramai pemimpin yang hadir (pada sidang kemuncak) turut membangkitkan isu keganasan dan penderitaan di Gaza yang dihadapi rakyat Palestin,” katanya.

Anwar berkata, beliau turut bertemu Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; Perdana Menteri, Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli bagi membincangkan peningkatan kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

“Saya juga mengadakan perbincangan lebih mendalam dengan Presiden Xi dan Perdana Menteri, Li Qiang, khususnya berkaitan pembangunan infrastruktur, pelaburan, kecerdasan buatan (AI), pendidikan serta kepentingan memperkukuh kerjasama dua hala demi manfaat rakyat Malaysia,” katanya.

Anwar turut menekankan kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan mandatnya dalam menyelesaikan krisis utama dunia sehingga menjejaskan lagi pengaruh global badan itu, sesuatu yang turut diakui Setiausaha Agungnya Antonio Guterres yang turut hadir pada persidangan berkenaan.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai kehadirannya pada Perbarisan Hari Kemenangan China di Dataran Tiananmen hari ini, bagi memperingati 80 tahun berakhirnya Perang Dunia Kedua.

“Bagi saya, selain sambutan, ia menjadi peringatan bahawa setiap negara perlu memiliki kebebasan dan kedaulatan. Kemerdekaan mereka mesti dihormati.

“Ini penting, khususnya dalam suasana ketidakpastian global ketika ini, dengan contoh paling buruk ialah Gaza, di mana rejim Zionis Israel terus bertindak sewenang-wenangnya.

“Sambutan ini (Hari Kemenangan China), yang menunjukkan bagaimana China bangkit menewaskan penindasnya, wajar dijadikan pengajaran kepada generasi muda,” katanya.

Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke tanah air tengah hari ini, selepas menghadiri Perarakan Kemenangan dan jamuan rasmi yang dianjurkan Presiden China.-BH Online