Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) berjaya direformasikan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan hala tuju yang lebih jelas, telus dan berkesan untuk pembangunan masyarakat India, khususnya golongan B40.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, berkata di bawah kepimpinan Anwar, Pasukan Petugas Khas MITRA ditubuhkan bagi mengawal selia dan memantau setiap program yang dilaksanakan di bawah agensi terbabit.

“MITRA kini nampak lebih bebas dan telus jika dibandingkan dahulu. Inilah reformasi sebenar yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI terhadap MITRA. Jika dahulu, jarang sekali kita mendengar apa-apa penjelasan kerajaan mengenai MITRA ataupun SEDIC (nama lama MITRA).

“… tetapi Kerajaan MADANI sekarang tidak melindungi sebarang perkara berkaitan MITRA. Setiap program dan penerima manfaat juga akan disenaraikan menerusi laman web MITRA, tidak seperti sebelum ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) MITRA di Dewan Negara hari ini.

Mengenai isu ketiadaan wakil kaum India untuk menyuarakan isu komuniti terbabit, Ramanan berkata, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa suara dan aspirasi masyarakat India tidak pernah diketepikan kerana ia disalurkan melalui MITRA, wakil Rakyat, Senator dan pelbagai mekanisme konsultasi yang ada.

Malah, katanya, Anwar adalah satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang memberikan ruang cukup bebas dan terbuka untuk bersuara dan memberikan pandangan termasuk isu berkaitan komuniti India yang akan diberi perhatian sewajarnya dalam proses merangka dasar dan pelaksanaan inisiatif kerajaan.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah kelulusan peruntukan MITRA mencecah RM62.28 juta atau 62.3 peratus setakat 15 Ogos lalu, daripada RM100 juta yang disediakan untuk tahun ini.

Ramanan berkata, Perdana Menteri juga memberi kelulusan untuk melaksanakan 23 program di bawah inisiatif Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) yang memberi tumpuan kepada tiga bidang utama pembangunan masyarakat India iaitu pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan serta kesejahteraan sosial.

“Peruntukan pembangunan untuk masyarakat India di negara ini bukanlah terhad kepada RM100 juta semata-mata, tetapi turut merangkumi pelbagai peruntukan lain yang disalurkan melalui pelbagai kementerian dan agensi yang meliputi semua kaum.

“Kerajaan MADANI juga sentiasa terbuka untuk menilai semula struktur pentadbiran MITRA, termasuk cadangan untuk menaikkannya menjadi sebuah agensi dengan kuasa yang lebih besar bagi memastikan setiap cadangan penambahbaikan akan memberikan kesan yang efektif terhadap sistem penyampaian MITRA,” katanya. – BERNAMA