Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Kerajaan negeri memeterai lima memorandum persefahaman (MoU) bernilai kira-kira RM1 bilion sempena `Melaka Week’, World Expo 2025 di Osaka, Jepun bermula semalam.

Perjanjian membabitkan sektor pendidikan, penyelidikan, pertanian, minuman berasaskan buah-buahan dan tenaga biojisim.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata antara kerjasama itu termasuk aspek akademik dan penyelidikan bagi Projek Ramalan Kilat 3D Masa Nyata dan Amaran Awal Bencana Ribut (SATREPS) antara Kindai University Jepun, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka Corporation (MCORP) serta Jabatan Mufti Melaka dengan dana geran RM4.8 juta.

Beliau berkata, selain itu, eksport nangka J33 dan produk pertanian Melaka ke Jepun pula dimeterai antara Koon Huat Agriculture Sdn Bhd dengan Kawori Orchard Inc, manakala minuman Melberic (buah Melaka) bakal menembusi 626 cawangan runcit Jepun.

“Dalam bidang tenaga, Shinsho Corporation Jepun bekerjasama dengan Palmitco Group membangunkan perkhidmatan bahan api biojisim bernilai RM100 juta, diikuti pelaburan US$450 juta oleh Kobelco Group untuk bahan api biojisim generasi baharu.

“Melaka turut mengetengahkan lapan syarikat Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi mempamerkan produk berkualiti tinggi ke pasaran global, seiring matlamat mengukuhkan eksport dan jaringan antarabangsa.

“Pengiktirafan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Melaka sebagai pemacu utama strategi halal negara adalah amanah besar, malah Pensijilan Halal Malaysia turut dipromosikan ke pasaran Jepun dan Asia Timur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Serentak penganjuran Melaka Week itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut menekankan tiga kekuatan utama sebagai hab pelaburan berdaya saing iaitu lokasi strategik di sepanjang Selat Melaka, bakat bertaraf dunia hasil graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta teknologi digital dan rekod prestasi membabitkan pelabur antarabangsa dari Jepun, Jerman, Amerika Syarikat dan China.

Katanya, Melaka berjaya menarik pelaburan lebih RM8.18 bilion pada tahun lalu dengan sasaran RM10 bilion menjelang 2030 melalui projek seperti MCORP High Tech Park, German Technology Park (GTP), ELKAY 2.0 dan Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ).

“Sektor pelancongan turut diberi fokus dengan 15 juta pelancong direkodkan tahun lalu. Produk baharu ekopelancongan dan agropelancongan di Kuala Linggi serta Tasik Chin Chin kini diperkenalkan menjelang penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 pada 27 hingga 29 September ini.

Sementara itu, Ab Rauf ketika merasmikan Melaka Week di World Expo 2025 Osaka menegaskan peranan Melaka sebagai pemacu ekonomi serantau.

Katanya, perasmian di pentas utama Pavilion Malaysia itu sekali gus menampilkan Melaka sebagai negeri ketujuh dipilih Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk mengetengahkan kekuatan ekonomi dan budaya.

“Sejak pembukaan ekspo terbesar dunia bertemakan `Designing Future Society for Our Lives’ itu, Pavilion Malaysia berjaya menarik hampir 2.7 juta pengunjung, manakala dua hari pertama Melaka Week merekodkan lebih 20,000 pengunjung.

“Melaka membawa misi besar ke pentas dunia dengan memperkukuh industri halal, memacu pelaburan dan memperkasakan PKS,” katanya.

Melaka Week akan berlangsung selama seminggu dengan pelbagai pengisian termasuk forum pelaburan, persembahan budaya, padanan perniagaan dan lawatan ke pavilion antarabangsa.-BH Online