PUTRAJAYA: Visi transformasi Tabung Haji (TH) daripada sebuah institusi simpanan patuh syariah kepada pelaburan Islam yang lebih dinamik, perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata beliau akan meminta pengurusan TH memberikan taklimat berhubung perkara itu sebelum membentangkannya kepada Perdana Menteri.
Katanya, beliau akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Perdana Menteri berhubung hala tuju serta panduan berkenaan isu terbabit.
“Perdana Menteri sememangnya sangat prihatin dengan TH. Apa-apa pun (perancangan) akan dirujuk kepada beliau terlebih dahulu,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan BH mengenai langkah TH mengkaji secara serius untuk meminda Akta Tabung Haji 1995 sebagai sebahagian langkah transformasinya, berubah daripada sebuah institusi simpanan syariah kepada sebuah institusi pelaburan Islam.
Pengerusi Kumpulan TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, berkata perbincangan mengenai keperluan mengubah akta itu sedang giat dijalankan bagi memastikan model perniagaan TH kekal mampan dan relevan pada masa hadapan.
Mohd Na’im berkata, sebarang langkah yang hendak diambil perlu menjamin kepentingan TH serta pendepositnya kerana ia adalah perkara asas dan dasar yang wajib dipatuhi.-BH Online