SEPANG: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang mencipta sejarah bergelar juara dunia di Paris, menerima sambutan wira sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi tadi.
Pasangan ranking keempat dunia itu selamat mendarat pada jam 5.51 pagi menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH21 dengan wajah ceria sambil melambaikan tangan kepada penyokong.
Turut tiba bersama mereka adalah beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, yang muncul naib juara dunia selepas menutup kempen cemerlang di Paris.
Rombongan negara turut disertai ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto dan ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak.
Ketibaan mereka disambut meriah oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha KBS, Datuk Ts Dr K Nagulendran, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin serta Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam.
Turut hadir meraikan kepulangan wira negara itu ibu Tang Jie, Chen Keat Siew, ibu bapa Ee Wei, Toh Kok Leong dan Jane Yeoh serta bapa Thinaah, S Muralitharan bersama sekumpulan peminat setia badminton tanah air.
Kelmarin, Tang Jie-Ee Wei menghadiahkan Malaysia detik penuh bermakna bersempena sambutan Hari Merdeka apabila menewaskan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 dalam masa hanya 40 minit pada aksi final di Adidas Arena.
Dengan sorakan “Merdeka!” bergema di arena, Ee Wei jelas menguasai permainan di jaring, manakala Tang Jie tampil cemerlang mengawal gelanggang belakang sekali gus menjadi beregu campuran pertama Malaysia muncul juara dunia.
Sementara itu, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking nombor dua dunia, terpaksa akur bergelar naib juara selepas tewas kepada gandingan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam pertarungan sengit tiga set 14-21, 22-20, 17-21 selama 83 minit.-BH Online