KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan kesemua kejadian gempa bumi berkemungkinan berlaku di Zon Sesar Mersing di Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, gegaran yang berlaku di Johor adalah gempa bumi lemah dan dijangka tidak memberi impak besar.
Beliau berkata, MET Malaysia merekodkan satu gempa bumi lemah bersama lima gempa bumi susulan (lemah) yang berlaku di sekitar kawasan Segamat, Johor dari 24 hingga kelmarin, bermagnitud 2.5 hingga 4.1.
“Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang untuk kejadian gempa bumi di Johor pada 24 Ogos lalu.
“MET Malaysia tidak menerima laporan gegaran dirasai di Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang bagi gempa bumi susulan di Johor dari 27 hingga kelmarin,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sementara itu, beliau berkata, Musim Monsun Barat Daya (MBD) bermula pada 10 Mei lalu dan akan berterusan sehingga September ini berikutan keadaan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.
“Sepanjang musim ini, kadar kelembapan udara lazimnya adalah rendah menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.
“Sehubungan itu, negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan,” katanya.
Beliau berkata, semasa kemuncak musim ini pada Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.
“Secara amnya, rantau negara menerima tiupan angin baratan sepanjang tempoh ramalan.
“Lekukan Tropika Nongfa telah lenyap dan kelajuan angin di rantau negara dijangka sedikit melemah. Pembentukan garis badai yang membawa ribut petir/hujan lebat berserta angin kencang berpotensi berlaku di barat Semenanjung Malaysia dan barat Sabah serta utara Sarawak pada awal pagi,” katanya.
Katanya, ribut petir/hujan pula dijangka berlaku di pedalaman dan timur Semenanjung Malaysia, timur Sabah dan Sarawak pada sebelah petang dan malam sepanjang tempoh ramalan.-BH Online
