TIANJIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelbagai penyusunan semula ekonomi global oleh barat memberi petunjuk bahawa masa depan juga mesti ditulis dengan ‘dakwat Asia’.
Beliau berkata, terdapat pelbagai bentuk aliran ekonomi seperti penubuhan sistem monetari antarabangsa baharu selepas Perang Dunia Kedua dan pengakhiran piawaian emas pada 1971.
Terbaru, kata beliau, adalah langkah pentadbiran Amerika Syarikat (AS) melaksana tarif timbal balik yang disifatkan sebagai ‘persenjataan perdagangan’.
“Setiap penyusunan semula ini ditulis jauh dari ‘pantai’ kami. Asia hadir, tetapi ia bukan pengarangnya.
“Hari ini, kami bertanggungjawab memastikan bab seterusnya ditulis dengan bahasa Asia, dakwatnya juga,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Sovereign Interdependence: Building a Shared Future in Asia’, di Universiti Tianjin di sini, hari ini.
Anwar berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan pemecahan perdagangan teruk dan penyahgandingan teknologi boleh menyebabkan beberapa negara berdepan kerugian sehingga 12 peratus daripada pendapatan mereka.
Katanya, ekonomi yang sedang pesat membangun bakal terdedah.
“Selama beberapa dekad ini, keterbukaan membenarkan mereka melonjak ke hadapan, menumpu ke arah pendapatan lebih tinggi dan menarik ratusan juta keluar daripada kemiskinan. Jika ilmu, teknologi dan modal kini mula mengalir hanya dalam blok berpagar, peluang mungkin ditolak begitu saja ketika orang lain mula mendaki,” katanya.
Anwar mencadangkan ‘sovereign interdependence’ sebagai cara untuk menyelesaikan isu itu.
Katanya, ini bermakna dengan membenarkan negara untuk kekal sepenuhnya berdaulat, namun masih terbuka kepada
aliran perdagangan dan pelaburan, bakat dan teknologi untuk mencapai kemakmurannya.
Beliau memetik contoh Laksamana Zheng He dari China, yang mengaitkan Melaka kuno dengan Arab dan Afrika.
Zheng He, katanya, membawa ganjaran, namun bukan penaklukan, satu bentuk pertukaran yang bukan penaklukan.
“Kita mesti merangka kesalingbergantungan yang mengukuhkan kedaulatan dan bukannya melemahkannya. Saling bergantung tidak seharusnya membuat sesebuah negara bimbang bahawa autonomi mereka akan dicairkan.
“Ia harus memberi mereka keyakinan bahawa dengan kebergantungan ini, daya tahan mereka akan berlipat ganda,” katanya.
Beliau berkata, Asia sebagai enjin pertumbuhan global mempunyai tanggungjawab khusus yang boleh dimainkan bagi mencapai matlamat ini.
“China sebagai kuasa tamadun boleh membuka pilihan itu yang akan membentuk keterbukaan, kestabilan dan keterangkuman rantau ini.
“Malaysia boleh membuat sumbangan sendiri, untuk menunjukkan bahawa adalah mungkin untuk berdaulat tanpa curiga, terbuka tanpa naif.
“Dan Asia, sebagai sebuah komuniti negara yang pelbagai, mempunyai tanggungjawab untuk memastikan penyusunan semula ekonomi seterusnya bukanlah satu perpecahan, tetapi satu keadilan dan kemakmuran bersama,” katanya.
Sesi syarahan di universiti itu turut membuka peluang Anwar untuk sesi soal jawab bersama pelajar.
Universiti Tianjin dianggap sebagai institusi pengajian tinggi tertua dalam sejarah moden China.
Ramai pelajar Malaysia menuntut di universiti ini termasuk yang mengikuti program dwi-ijazah Kejuruteraan Kimia dengan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Perdana Menteri ketika ini sedang dalam lawatan kerja empat hari ke China, yang keempat sejak 2023.-BH Online
