TIANJIN: Malaysia sedang meneroka pasaran baharu industri semikonduktor sebagai sebahagian usaha pempelbagaian untuk menembusi pasaran baharu dan bukan tradisional, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, China telah mencapai kemajuan luar biasa dalam bidang itu, dan Malaysia berhasrat untuk belajar serta meneroka potensi kerjasama dengan rakan setaranya di China.
“Malaysia bertuah kerana menjadi hab semikonduktor di Asia Tenggara… dengan lebih 60 peratus produk elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor kami dieksport ke Amerika Syarikat (AS).
“Jadi, keputusannya ialah meneruskan usaha itu tetapi pada masa sama akan mencari pasaran baharu, dan kami sedang bekerjasama dengan syarikat China serta Jepun,” katanya pada sesi soal jawab pada syarahan umum di Universiti Tianjin di sini, hari ini.
Seterusnya, Anwar yang juga Menteri Kewangan, menekankan kepentingan memupuk bakat baharu dalam bidang itu, sebagai contoh membabitkan teknologi terkini yang menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, terdapat peluang besar memandangkan China telah ‘membuka pintunya’.
Anwar berkata, komponen latihan juga sama penting di samping jalinan kerjasama.
“Malah esok, saya akan bertemu semua peserta industri semikonduktor yang berpangkalan di China untuk berbincang dan merangka formula. Kita perlu menerokai peluang ini dan berusaha bersama-sama,” katanya.
Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan kerja empat hari di China, yang merupakan lawatan keempat beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada November 2022.-BH Online
