PUTRAJAYA: Cadangan kawasan untuk dilaksanakan Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang kini dibangkitkan pihak tertentu sebenarnya telah diwartakan oleh kerajaan negeri termasuk negeri pembangkang.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata sebanyak 534 kawasan di seluruh negara telah dikenal pasti dan diwartakan untuk tujuan PSB oleh kerajaan negeri masing-masing termasuk 22 tapak di Terengganu pada 2015 dan 55 tapak di Kedah pada 2018.
“Ini fakta, bukan cadangan kerajaan Persekutuan. Kuala Lumpur ada sebanyak 139 tapak, Kedah (55), Terengganu (22), Kelantan (empat), Selangor (72), Johor (36), Pahang (58), Pulau Pinang (lima), Perak (85), Negeri Sembilan (49) dan Melaka (sembilan) tapak dengan jumlah kesemuanya 534 tapak.
“Mereka yang wartakan dan setuju dahulu, tiba-tiba mereka pula yang bantah,” katanya pada sidang media khas berhubung Rang Undang-Undang (RUU) PSB, di sini baru-baru ini.
Kor Ming berkata menerusi RUU baharu itu, akan memastikan penduduk termasuk golongan B40 yang tinggal di kediaman usang dan daif mendapat perlindungan lebih baik serta kediaman baharu yang lebih selesa.
“Sekarang rumah 500 kaki persegi, hanya ada satu bilik dan satu tandas. Selepas PSB, minimum 750 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua tandas…satu bilik untuk ibu bapa, satu untuk anak lelaki, satu untuk anak perempuan. Inilah dasar manusiawi Kerajaan MADANI,” katanya.
Kor Ming berkata selain itu, prinsip utama RUU tersebut adalah persetujuan pemilik, iaitu ambang 80 peratus sebelum sebarang rundingan dimulakan dengan pemaju dan rundingan akan dikendalikan Jawatankuasa Eksekutif Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar atau Ketua Menteri, sebelum diangkat ke Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan.
“Bukan pemilik kecil-kecilan berunding sendiri dengan pemaju besar. Menteri dan kerajaan akan jadi mediator, membantu rakyat mendapatkan syarat yang lebih baik,” katanya.
Menurutnya, antara prinsip lain yang terkandung dalam RUU itu ialah pengekalan penduduk asal di kawasan sama, pampasan setimpal, penempatan sementara yang kondusif serta pembangunan berfasa.
Katanya tanah rizab Melayu, tanah adat dan bangunan warisan tidak terlibat dalam PSB.
Kor Ming turut menolak dakwaan bahawa RUU itu memberi pemaju kelebihan dan menegaskan PSB digubal untuk melindungi komuniti dan menyelamatkan penduduk daripada terus menghuni rumah usang serta berisiko.
“Saya mahu tegaskan bahawa tujuan PSB adalah untuk memperkaya rakyat bukan mengkayakan pemaju. Rumah bernilai rendah akan diganti dengan rumah bernilai tinggi… yang kecil diganti lebih besar dan selesa,” katanya.
Beliau berkata bacaan kali kedua RUU PSB dijadualkan pada 6 Oktober ini sebelum diteruskan dengan bacaan kali ketiga bersama pindaan yang dipersetujui selepas mendengar pandangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
“Kerajaan ini ialah kerajaan yang sedia mendengar. Pindaan itu termasuk menaikkan ambang persetujuan daripada 75 peratus kepada 80 peratus serta memasukkan peruntukan bagi memastikan demografi setempat tidak berubah secara drastik,” katanya.
Kor Ming berkata sekiranya diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, RUU itu boleh diwartakan selewat-lewatnya 1 Januari 2026. – BERNAMA