Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PARIS, 1 September– Lebih 250 media dari lebih 70 negara mengadakan protes serentak di muka depan masing-masing pada Isnin, sebagai solidariti terhadap kematian puluhan wartawan akibat serangan Israel di Gaza, Palestin.

Perkara itu dimaklumkan oleh kumpulan kebebasan media, Reporters Without Borders (RSF).

“Dengan kadar wartawan dibunuh di Gaza oleh tentera Israel, tidak lama lagi tiada siapa yang tinggal untuk terus memaklumkan anda,” kata Pengarah Besar RSF, Thibaut Bruttin dalam kenyataan.

Antara media yang menyertai protes itu di muka depan laman sesawang mereka ialah penyiar Qatar (Al Jazeera), portal berita Britain (The Independent), akhbar Perancis iaitu La Croix dan L’Humanite serta akhbar Jerman (TAZ) dan Frankfurter Rundschau, menurut RSF.

RSF melaporkan seramai 220 wartawan telah terbunuh sejak Israel melancarkan kempen ketenteraan di Gaza, sejak tahun 2023.

Protes itu diadakan seminggu selepas lima wartawan termasuk dari Al Jazeera, Associated Press (AP) dan Reuters, maut dalam serangan udara Israel di Hospital Nasser, Khan Yunis.

Awal Ogos lalu, enam wartawan turut terbunuh dalam serangan udara Israel berhampiran Hospital Al-Shifa di Gaza City.

Israel mendakwa serangan di Hospital Nasser menyasarkan sebuah kamera milik Hamas, namun tindakan itu mencetuskan kecaman antarabangsa.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang juga sekutu utama Israel, menyuarakan ketidakpuasan hati dengan berkata beliau “tidak gembira”.

Menurut RSF, media yang mengambil bahagian dalam protes pada Isnin menuntut supaya penghapusan budaya imuniti terhadap jenayah Israel terhadap wartawan Gaza, pemindahan segera wartawan yang mahu keluar dari wilayah itu, serta membenarkan media asing membuat liputan secara bebas.

RSF memaklumkan pihaknya telah memfailkan empat aduan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung jenayah perang yang didakwa dilakukan tentera Israel terhadap wartawan di Gaza sepanjang 22 bulan lalu.

Setakat ini, media antarabangsa masih tidak diberikan akses bebas memasuki Gaza sejak perang bermula.

Kempen ketenteraan Israel ke atas Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 63,459 nyawa, menurut angka Kementerian Kesihatan Gaza. -AFP