Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tianjin: Syarikat peneraju global dalam bidang polimer anti-penuaan dan kosmetik, Rianlon Corporation, menyatakan komitmen menubuhkan kilang pembuatan serta kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor. 

Perkara itu dimaklumkan ketika pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama wakil syarikat dari China itu hari ini, sempena lawatan kerja empat hari beliau ke negara berkenaan.

Pertemuan secara tertutup itu diadakan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Rianlon, Li Haiping dan Ketua Pegawai Teknologi, Sun Chunguang diadakan di Hotel Banyan Tree Tianjin Riverside, di sini.

Perdana Menteri berkata, syarikat berkenaan bakal melabur sebanyak RM820 juta bagi projek terbabit.

“Pelaburan ini akan membuka peluang kepada pekerjaan berkemahiran tinggi dalam kalangan rakyat,” katanya. 

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi satu hantaran di media sosial memaklumkan bahawa projek berkenaan akan dilaksanakan di Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat, Johor. 

Beliau berkata, projek itu dijangka mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta mengukuhkan ekosistem bidang bahan kimia negara. 

“Pelaburan ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah membawa masuk teknologi canggih selari dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Ini satu langkah penting dalam mengukuhkan ekosistem bahan kimia negara dan melonjakkan Malaysia ke rantaian nilai yang lebih tinggi. 

“MITI mengalu-alukan pelaburan daripada Rianlon dan bersedia menjadi rakan strategik dalam inovasi serta pertumbuhan industri,” katanya menerusi platform X. 

Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan barisan kepemimpinan tertinggi China Communications Construction Company Limited (CCCC), iaitu kontraktor utama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). 

Anwar bertemu Pengerusi CCCC, Song Hailiang serta Naib Presiden syarikat itu, Chen Zhong. 

“Bersama CCCC, saya meneliti perkembangan projek ECRL yang kini menjadi lambang persahabatan antara Malaysia dan China di bawah Belt and Road Initiative (BRI). 

“Insya-Allah, ECRL akan merapatkan jurang pembangunan wilayah dan membawa limpahan ekonomi kepada rakyat,” katanya. 

ECRL bertujuan menghubungkan kawasan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia. 

Apabila siap kelak, projek sepanjang 665 kilometer (km) ini akan menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan penumpang dan kargo antara negeri-negeri Pantai Timur membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Lembah Klang di Pantai Barat. 

Pembinaan Fasa 1 ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijadualkan siap pada Disember 2026, dengan operasi dijangka bermula Januari 2027. 

Sementara pembinaan Fasa 2 yang menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap pada Disember 2027 dan mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.-MyMetro Online