KUCHING: Projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan di sini, mencatat perkembangan memberangsangkan apabila kini mendahului jadual asal dan dijangka siap pada Julai tahun depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata sehingga kini kemajuan fizikal projek berkenaan mencapai 13.4 peratus iaitu enam peratus lebih awal berbanding jadual.
Beliau berkata, mengikut jadual asal, jambatan berkenaan dijadualkan siap pada Mei 2027.
“Projek itu sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit, namun kini berjalan lancar selepas pelantikan kontraktor baharu, Titanium Project Management Sdn Bhd, melalui tender terbuka dengan nilai kontrak sebanyak RM82 juta.
“Kontraktor ini berpengalaman luas dalam pembinaan jambatan dan selepas berbincang dengan mereka serta Jabatan Kerja Raya (JKR), kita bersetuju untuk menetapkan Julai 2026 sebagai tarikh siap baharu,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke tapak projek hari ini.
Menurut Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD), kerajaan amat optimis kontraktor dapat menyiapkan projek ini mengikut jadual baharu yang ditetapkan.
Mengulas isu yang dihadapi kontraktor ketika ini, beliau berkata antara cabaran utama ialah tenaga kerja kerana memerlukan permit tertentu.
“Setakat ini tiada masalah besar berkaitan tenaga kerja, tetapi apabila kerja pembinaan semakin bertambah, mereka memerlukan lebih ramai pekerja.
“Dari segi logistik dan bekalan bahan binaan juga tiada masalah besar dilaporkan dab emantauan berkala akan dilakukan oleh saya sendiri, timbalan saya serta pihak JKR,” katanya.
Jambatan Batang Rambungan sepanjang 650 meter itu dibina menggunakan reka bentuk kabel yang merentasi Sungai Rambungan dan turut dilengkapi jalan penghubung sepanjang 815 meter dari arah Kuching dan Lundu.
Projek itu penting dalam merangsang jaringan jalan raya pesisir Sarawak, menggantikan perkhidmatan feri sedia ada serta mempercepatkan mobiliti rakyat, selain membuka lebih banyak peluang sosioekonomi kepada penduduk setempat.
“Apabila jambatan ini siap kelak, perkhidmatan feri sedia ada akan dipindahkan ke lokasi lain yang masih memerlukannya seperti di Saribas yang akan dipindahkan ke Batang Lupar,” katanya.
Selepas lawatan ke Jambatan Batang Rambungan, Uggah turut melawat tapak projek Jambatan Sejingkat yang menghubungkan Kuching dengan Samarahan.
Projek jambatan itu kini mencapai 54.77 peratus dan dijangka siap Mac tahun hadapan.
Uggah berkata, walaupun mengalami sedikit kelewatan, masalah itu sudah diselesaikan malah beliau yakin pihak kontraktor mampu menyiapkan projek itu mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Setakat ini, kemajuan projek telah mencapai 54.77 peratus, iaitu kelewatan sekitar tiga peratus, namun ia masih dalam keadaan terkawal.
“Kita berharap, selepas perbincangan dengan kontraktor, projek ini dapat dijadualkan semula untuk disiapkan pada Mac 2026,” katanya.
Projek bernilai RM365.7 juta akan memudahkan akses antara Kuching, Samarahan dan kawasan pesisir pantai sekaligus memacu pembangunan ekonomi dan sosial di negeri ini.-BH Online