Ibrahim memberikan isyarat bagus (thumbs up) sebagai tanda penghargaan dan berpuas hati dengan kejayaan penganjuran sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung penuh meriah di Dataran Putrajaya hari ini.
Sejurus selepas kepulangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, Anwar meluangkan masa kira-kira lima minit bertemu peserta perbarisan dan orang ramai yang masih tidak berganjak walaupun acara sambutan sudah berakhir.
Ketika berada di pentas grafik manusia, Perdana Menteri dilihat merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit menjayakan sambutan kali ini termasuk 2,000 pelajar yang menjayakan persembahan grafik manusia itu.
“Saya bangga dengan anak-anak, pertunjukan terbaik dalam sejarah Malaysia, belajar rajin-rajin,” katanya.
Sambutan bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Perarakan dan persembahan tahun ini menyaksikan pembabitan 81 kontinjen dengan 14,062 peserta, 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset Angkatan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia, serta 116 ekor haiwan.
Sambutan tahun ini turut mencatat kehadiran lebih 100,000 orang yang membanjiri Dataran Putrajaya sejak malam tadi bagi meraikan satu lagi detik bersejarah negara.– BERNAMA