Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tekad memerdekakan negara daripada penyelewengan dan rasuah menyaksikan kerajaan MADANI berjaya memecahkan kartel puluhan tahun membabitkan barangan keperluan rakyat.

Mengakui masih banyak perlu diperbaiki, Perdana Menteri menegaskan, usaha kerajaan memerangi segala bentuk kecurangan terhadap negara tidak pernah padam.

Katanya, isu membabitkan rakyat, termasuk pendidikan, kesihatan dan harga barang tidak pernah terlepas daripada dibincangkan dalam setiap mesyuarat Jemaah Menteri dan mencari jalan untuk menanganinya.

“Kerajaan MADANI memecahkan tembok kartel dan kita terus berperang. Saya panggil penguat kuasa dan katakan perangi mereka, perangi kartel dan kumpulan yang menggunakan cara haram dan khianat untuk merosakkan negara ini. Kita tidak tolak ansur.

“Kartel ayam kita pecahkan. Sudah berapa lama? Sudah puluhan tahun, mampu kita pecahkan, disebabkan tekad politik dan semangat rakan-rakan dalam bidang penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan semua.

“Apakah sudah sempurna? Tidak. Apakah sudah mampu kita hentikan penyeludupan? Tidak, masih ada dan sebab itu semangat kemerdekaan ini bermakna tekad kita merdeka dan melepaskan negara daripada segala bentuk kecurangan, rasuah dan kegiatan haram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bercadang menurunkan harga minyak RON95 kepada RM1.99, yang akan memberi manfaat kepada majoriti rakyat.

Bagaimanapun, katanya, ada segelintir pihak memainkan sentimen kerajaan bertindak zalim dengan menarik subsidi minyak dan membebankan rakyat, sedangkan langkah itu hanya membabitkan warga asing dan golongan kaya.

“Subsidi ditarik daripada orang asing, yang nak dibebankan sebab apa? Kalau dikenakan (subsidi), bukannya kepada kalangan yang gajinya RM50,000 hingga RM60,000 sebulan. 

“Kalau saudara gajinya RM50,000 sebulan, bayarlah sikit supaya kita tolong rakyat tapi dalam dewan ini, petani, nelayan, pekebun kecil, pekerja kilang, itu semua tidak akan dinaikkan harga minyak,” katanya.-BH Online