SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun kerajaan menurunkan defisit fiskal setiap tahun bagi mengurangkan beban hutang negara, namun peruntukan untuk negeri dan kebajikan rakyat tetap dinaikkan.
Perdana Menteri berkata, terdapat segelintir pihak yang memandang remeh apabila beliau menyatakan bahawa kerajaan MADANI pimpinannya mewarisi hutang yang tinggi iaitu lebih RM1 trilion, sedangkan itu adalah hakikat.
Katanya, kedudukan hutang itu menuntut kerajaan melaksanakan defisit fiskal secara berfasa, daripada 5.6 peratus pada tahun pertama mengambil alih kuasa pada 2022 kepada 3.8 peratus pada tahun ini.
“Ada orang mual dan benci bila saya sebut kita warisi hutang negara lebih RM1.5 trilion. Itu kenyataan. Biasa (kata mereka), apa biasa? Apakah anak-anak mampu bayar jika hutang (meningkat), RM1.5, RM1.7, RM1.8 trilion? Tidak mampu. Sebab itu, tata kelola harus berlandaskan beberapa landasan.
“Jika negara nak dipertahankan kemakmurannya dan unjuran pertumbuhan itu kekal, keyakinan pelaburan asing dan domestik kekal, maka kita kena turunkan defisit.
“Bagaimanapun, dalam masa kita turunkan defisit, gaji dan perbelanjaan bagi semua negeri itu naik, termasuk negeri yang dikuasai oleh pembangkang tetapi apa yang ‘diwiridkan’? (didakwa) zalim, menindas kami.
“Saya beri angka di Parlimen, (pembangkang) tidak bangkit soalan. Saya kata, semangat kita semangat perpaduan, kita ada mandat jaga negara, semuanya, Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Sementara itu, Perdana Menteri menggesa semua penjawat awam supaya terus bekerja keras dengan penuh berdisiplin dan berintegriti, walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Katanya, pelbagai program MADANI yang dirangka kerajaan perlu dilaksanakan dengan berkesan, membabitkan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sosial, yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat.
“Kita harus terus kerja sebagai satu pasukan. Jaga perpaduan, tingkatkan semangat, selamatkan negara kita. Jaga supaya negara ini terpelihara daripada segala usaha di luar kerana ramai yang cemburu di dalam negara dan luar negara.
“Percayalah, ramai yang cemburu dengan Malaysia. Keamanan, kejayaan dan kemakmuran kita. Pertahankanlah dengan segala tenaga kita,” katanya.-BH Online