Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUSAN: Malaysia berhasrat mendalami pengalaman dan pendekatan holistik Korea Selatan dalam aspek pengurusan dan rawatan air, seiring usaha negara melaksanakan transformasi sektor berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada masa ini, beliau berkata, Malaysia dalam proses memasuki fasa kedua Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air 2040 (AIR 2040) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menumpukan pembangunan teknologi tempatan dan menepati piawaian antarabangsa.

Katanya, pelan hala tuju itu menetapkan visi jangka panjang untuk memperkukuh keterjaminan air negara, meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi import dengan menggalakkan inovasi tempatan.

Sehubungan itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata Malaysia berhasrat mendapatkan pandangan daripada pengalaman Korea Selatan, khususnya dalam teknologi canggih dan amalan terbaik pengurusan sumber air.

“Ke mana pun destinasinya, kita berhasrat mendapatkan maklumat mengenai teknologi di negara berkenaan dari segi amalan terbaik dan sebagainya. 

“Atas alasan ini, kita melakukan lawatan ke Korea Selatan,” kata beliau ketika melawat Loji Rawatan Air Gangbyeon, hari ini.

Beliau diiringi Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Zamruni Khalid dan Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Mareena Mahpudz.

Fadillah kini dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Busan sehingga hari ini bersempena Mesyuarat Menteri Tenaga Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-15.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan Korea Selatan tidak hanya dari segi rawatan air, tetapi juga dalam pengurusan rantaian sungai secara bersepadu dalam memastikan bekalan air kekal bersih daripada sumber dan dapat mengekalkan kualitinya di sepanjang kitaran secara menyeluruh.

“Sudah tentu, kita boleh belajar, bukan saja dari segi rawatan air, tetapi juga bagaimana mereka mengurus keseluruhan rantaian sungai dan bagaimana sungai itu dibersihkan,” katanya.

Usaha Malaysia mentransformasi air itu juga bertujuan mengurangkan air tidak berhasil (NRW), menaik taraf infrastruktur yang lama atau usang, selain memperluaskan penggunaan teknologi digital seperti pemeteran pintar, pemantauan dalam masa nyata serta pengurusan berasaskan data.

Lawatan Fadillah ke Korea Selatan juga dilihat sebagai menyerlahkan komitmen Malaysia dalam usaha mempercepat pelaksanaan reformasi dan memperluas kerjasama dengan rakan antarabangsa.

Berdasarkan model Korea Selatan, Malaysia berhasrat membangunkan sektor air yang mampan, berteknologi tinggi dan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa di bawah AIR 2040. – BERNAMA