JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dan mengambil tindakan penguatkuasaan segera susulan penularan video ajaran sesat di Parit Raja, Batu Pahat baru-baru ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia tidak boleh dipandang ringan dan siasatan terperinci perlu dilakukan.
Beliau berkata insiden itu menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan kerajaan negeri akan terus komited dalam mengenal pasti serta membanteras sebarang bentuk ajaran menyeleweng tanpa sebarang kompromi.
“Segala bentuk khurafat, tahyul, pemujaan salah atau ritual yang bercanggah dengan syariat Islam serta kegiatan yang menyebabkan agama Islam dipandang rendah adalah dilarang sama sekali dan boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu tular sebuah video berdurasi satu minit di media sosial yang memaparkan ritual dipercayai berkaitan kuda kepang yang dikaitkan dengan amalan syirik di Batu Pahat.
Video berkenaan juga memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita berkumpul sambil melakukan ritual diiringi paluan gong dan alunan muzik.
Kelihatan juga dua lelaki seperti mengalami kerasukan, manakala peserta lain dipercayai sedang menyembah sesuatu. Ia turut disaksikan oleh masyarakat awam di lokasi terbuka.
Menurut Onn Hafiz, Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah bertitah dan mengingatkan umat Islam di Johor perlu berpegang kepada akidah Islam yang murni dan sebenar.
Katanya titah baginda itu adalah peringatan jelas bahawa sebarang ajaran songsang tidak boleh diberi ruang untuk bertapak dan berkembang di negeri ini.
“Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail turut bertitah menegaskan semua institusi agama, kepemimpinan masyarakat dan pihak berkuasa memperkukuh penguatkuasaan serta pendidikan.
“Ini bagi memastikan umat Islam terhindar daripada ajaran sesat, khurafat dan tahyul demi memelihara akidah dan kesejahteraan,” katanya.
Mengulas lanjut Onn Hafiz berkata, setiap umat Islam bertanggungjawab menjaga akidah yang merupakan asas utama kehidupan beragama.
Beliau menggesa rakyat khususnya penghulu, ketua masyarakat, penggerak masjid serta semua pihak berkuasa berkaitan untuk bersama-sama memastikan aktiviti khurafat, pemujaan dan ajaran sesat dihentikan sepenuhnya.-BH Online