Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Program Agropreneur Muda (PAM) memperuntukkan sebanyak RM15.08 juta kepada 758 penerima di seluruh negara menerusi Geran Agropreneur Muda pada tahun 2023.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, jumlah itu meningkat kepada RM17.51 juta pada 2024 melibatkan 818 penerima.

Menurutnya, secara keseluruhan seramai 1,576 agropreneur muda menerima manfaat daripada program tersebut bagi tempoh 2023 hingga 2024 dengan nilai keseluruhan geran sebanyak RM32.59 juta.

Beliau menjelaskan, penerima terdiri daripada 621 usahawan subsektor tanaman, 554 industri asas tani, 253 ternakan dan 148 sektor perikanan.

“Sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) iaitu mulai tahun 2021 hingga 27 Ogos 2025, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah meluluskan Geran Agropreneur Muda kepada 3,692 penerima dengan jumlah keseluruhan RM79.84 juta merangkumi subsektor tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani.

“Pelaksanaan ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkasa peranan generasi muda dalam sektor agromakanan serta menyumbang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Mohd Hasbie Muda pada sesi Dewan Negara hari ini.

Program Agropreneur Muda mula diperkenalkan pada 2016 di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) bagi menarik minat belia berusia 18 hingga 45 tahun menceburi bidang pertanian dan agromakanan secara komersial.-Berita RTM