Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Sempena Bulan Kebangsaan, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menawarkan pakej pengurangan fi cap dagangan sebanyak RM300 mulai 1 September hingga 31 Disember ini.

Menerusi kempen ‘Lindungi Jenama Lokal, Tembusi Pasaran Global’, pemohon hanya perlu membayar RM650 berbanding fi asal RM950 bagi setiap permohonan cap dagangan yang dikemukakan oleh individu, entiti perniagaan, persatuan atau pertubuhan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata setiap jenama atau logo yang berjaya didaftarkan akan mendapat perlindungan harta intelek selama 10 tahun di bawah undang-undang berkenaan.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi menggalakkan pendaftaran harta intelek selain meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta jenama tempatan di pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 Peringkat KPDN di sini, hari ini.

Menurut data SME Corp, sebanyak 96.1 peratus daripada keseluruhan entiti perniagaan di Malaysia adalah PMKS, dengan lebih 70 peratus daripadanya terdiri daripada perusahaan mikro.

Dalam pada itu, Armizan berkata, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut memperkenalkan Bas Ezbiz On-The-Go 2.0 yang menawarkan perkhidmatan bergerak lebih moden, selesa dan berteknologi tinggi bagi memudahkan orang ramai mengakses perkhidmatannya.

Bas generasi baharu itu dilengkapi reka bentuk kontemporari, kaunter moden, terminal layan diri dengan kiosk skrin sesentuh mudah alih serta ruang taklimat yang lebih selesa.

“Saiznya juga lebih besar berbanding sebelum ini, sekali gus memberi pengalaman perkhidmatan lebih efisien kepada pelanggan.

“Menariknya, Bas Ezbiz On-The-Go 2.0 turut didaftarkan dengan nombor pendaftaran khas 1604, simbolik kepada tarikh penubuhan SSM pada 16 April 2002,” katanya.

Selain agensi KPDN, rakan strategik kementerian itu turut menawarkan pelbagai manfaat kepada rakyat sempena HKHM 2025.

Bermula semalam, Shopee melancarkan ‘Kempen Shopee Payung RM100’ yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 16 September ini. 

Armizan berkata, menerusi kempen terbabit, pelanggan boleh mendapatkan baucar Shopee bernilai RM100 hanya dengan bayaran RM1, dengan peruntukan keseluruhan RM10 juta bagi memberi manfaat kepada 100,000 pengguna.

Katanya, baucar itu boleh digunakan untuk pembelian di platform Shopee termasuk ShopeeFood, Shopee Live dan ShopeePay, selain tawaran penghantaran percuma sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Inisiatif agensi KPDN bersama rakan strategik sektor e-dagang seperti Shopee adalah manifestasi komitmen menyantuni rakyat serta tanda penghargaan atas kebersamaan seluruh bangsa Malaysia dalam membina negara yang lebih aman dan makmur,” kata Armizan.-BH Online