Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) mempertimbang kaedah pembinaan alternatif antaranya seperti terowong bagi jalan berbukit dan tanah tinggi di seluruh negara, bertujuan mengurangkan risiko runtuhan jalan serta lubang benam.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pertimbangan kaedah pembinaan alternatif itu dibuat berdasarkan keperluan geoteknikal dan kesesuaian lokasi berkenaan.

Beliau berkata menjawab soalan tambahan Mohd Azizi Abu Naim (BEBAS-Gua Musang) di Dewan Rakyat hari ini, mengenai cadangan membina terowong atau penggunaan teknologi di jalan berbukit dan tanah tinggi bagi meminimumkan risiko runtuhan jalan dan lubang benam.

Dalam pada itu, Alexander berkata KKR tidak bercadang membina terowong di laluan FT185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang menghubungkan Kelantan dan Pahang, bagi tujuan berkenaan.

Mengenai penggunaan teknologi pula, katanya beliau berkata KKR komited memastikan keselamatan dan keberkesanan infrastruktur negara, termasuk di FT185.

Ketika ini, katanya teknologi dron sudah dimanfaatkan bagi tujuan pemetaan topografi serta penilaian keadaan jalan raya dan cerun dengan lebih tepat dan efisyen.

“Seiring kemajuan teknologi digital, pelbagai inovasi seperti analitik data, pemprosesan imej dan sistem pemantauan berasaskan sensor sudah digunakan dalam sektor pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur

“Justeru, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) akan dapat membantu agensi seliaan KKR dalam usaha memantau keadaan jalan raya dan cerun secara berterusan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), beliau berkata lebih 2,000 lokaliti di seluruh negara dikategorikan kawasan berisiko tinggi atau ‘black spot’.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan keseluruhan lokaliti berkenaan, namun menjelaskan kerja baik pulih kawasan terbabit dibuat secara berterusan.

“KKR maklum mengenai masalah yang menjadi keutamaan apabila peruntukan terhad diterima. Kita buat keutamaan (kerja baik pulih) di kawasan ‘black spot’.

“Kalau persimpangan tiada lampu jalan, kita pasangkan lampu untuk pencahayaan supaya lebih selamat digunakan ketika malam dan selekoh kita buat perkara sepatutnya.

“Isu ‘black spot’ ini memang dikaji dengan teliti untuk memastikan bentuk baik pulih, selain turut melaksanakan Penilaian Keadaan Turapan (PCA) supaya kerja baik pulih kekal sepatutnya dibuat di kawasan berkenaan,” katanya.-BH Online