KUALA LUMPUR: Ops Gasak memberi tumpuan khusus kepada aktiviti ‘decanting’ tanpa mengganggu operasi peniaga kecil dan mikro seperti peniaga goreng pisang dan keropok lekor atau gerai serta warung kecil.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata aktiviti ‘decanting’ merujuk gas petroleum cecair (LPG) yang dipindahkan daripada tong gas bersubsidi kepada tong gas tidak bersubsidi, dengan nilai rampasan keseluruhan direkodkan melalui Ops Gasak sejak 1 Mei lalu mencecah RM7 juta.
“Ops Gasak ni kita tak usik pun peniaga kecil mikro, peniaga goreng pisang, keropok lekor, gerai-gerai dan warung, sebaliknya kita banyak beri tumpuan aktiviti ‘decanting’.
“Banyak data-data menunjukkan kita berjaya buat tangkapan, ada yang nak disita, selain ada juga kita buat syor digantung lesen dan sebagainya… Ini menunjukkan kita ambil tindakan tegas,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai pelan mitigasi bagi memastikan pematuhan kepada penguatkuasaan peraturan sedia ada, terutama membabitkan penggunaan LPG bersubsidi oleh peniaga kecil.
Fuziah berkata, penumpuan pelaksanaan Ops Gasak selari keputusan diperakukan Kabinet menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun lalu, yang menetapkan menetapkan peniaga mikro dan kecil makanan dan minuman dibenarkan untuk mendapatkan bekalan tong gas LPG bersubsidi tanpa keperluan permit barang kawalan penjaduan.
“(Keputusan dibuat) Ini sementara Ops Gasak berjalan dan kita mengumpulkan data sehingga hujung tahun, di mana kita boleh berikan maklum balas berkenaan dengan langkah seterusnya,” katanya.
Tambah beliau, kementerian juga dengan kerjasama pihak berkaitan sedang melakukan sesi libat urus dengan pelbagai persatuan berkenaan bagi memperoleh maklumat tepat mengenai operasi perniagaan jualan dan makanan berskala mikor dan kecil.
“Data ini penting kerana dalam libat urus ini kita mahu teliti juga, katakanlah dobi layan diri, berapa banyak tong gas diperlukan setiap hari, kalau dia nak buat permit berapa banyak (penggunaan tong gas LPG bersubsidi).
“Ini kerana, (penggunaan) lebih 40kg perlu pohon permit untuk industri. Jadi kita nak tengok apakah kesannya kepada pengguna. Bagi industri sebagai dobi layan diri, kedai makan.
“Sebab setakat ini untuk kedai makan memang kita tidak kuatkuasakan lagi, selagi tak dapat data tepat ini,” katanya.
Dalam pada itu, Fuziah menafikan dakwaan pindaan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, terutama berkaitan had penggunaan LPG bersubsidi dalam sektor perdagangan dan perniagaan akan dilakukan pada Oktober ini.
Beliau sebaliknya menjelaskan cadangan bagi pelaksanaan pindaan berkenaan masih di peringkat kajian.
“Kita tak ada buat pun sekatan ataupun operasi terhadap mereka,” katanya menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai jaminan kepada golongan peniaga kecil untuk kekal boleh menggunakan LPG bersubsidi.-BH Online