Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan inisiatif pembaharuan fiskal termasuk Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) untuk menambah baik kutipan hasil dan semakan semula perbelanjaan awam bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal bagi menyediakan ruang fiskal yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kejutan luaran pada masa hadapan.

“Belanjawan 2025 memperincikan beberapa langkah hasil melalui perluasan cukai jualan atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport, perluasan skop cukai perkhidmatan meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi,” katanya di persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Wu Him Ven mengenai perancangan kerajaan untuk menambahkan lagi ruang fiskal supaya dapat terus menyokong pertumbuhan ekonomi serta langkah konkrit bagi merapatkan jurang ekonomi antara rakyat.

Amir Hamzah berkata, antara langkah lain adalah melalui pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai 2025 yang dirangka dengan bersasar dan progresif, bagi memastikan beban cukai diagihkan dengan lebih adil dan ditanggung oleh mereka yang mempunyai keupayaan.

“Kerajaan juga akan mengoptimumkan perbelanjaan awam antaranya menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan RON95 serta langkah rasionalisasi badan berkanun.

“Langkah reformasi juga diteruskan dalam pasaran buruh negara termasuk pelaksanaan gaji minimum daripada RM1,5000 kepada RM1,700 dan dasar gaji progresif,” katanya.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin berkenaan dengan hutang kerajaan, Amir Hamzah berkata sehingga akhir Jun 2025, hutang kerajaan Persekutuan mencatatkan RM1.304 trilion atau 63.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding RM1.248 trilion atau 64.6 peratus daripada KDNK pada akhir 2024.

“Peningkatan ini disebabkan oleh keperluan kerajaan untuk membiayai defisit fiskal bagi menampung perbelanjaan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah liabiliti kerajaan Persekutuan sehingga akhir Mac 2025 adalah sebanyak RM384.6 bilion, yang meliputi komitmen jaminan sebanyak RM238.8 bilion dan liabiliti lain sebanyak RM145.8 bilion.

Sejak kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran negara, pinjaman baharu telah berkurangan daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023 dan seterusnya kepada RM76.8 bilion pada 2024 (iaitu pengurangan melebihi RM20 bilion dalam tempoh dua tahun), katanya.

“Pelaksanaan reformasi fiskal di bawah kerajaan MADANI telah membuahkan hasil dengan penurunan kadar defisit secara beransur-ansur daripada 5.5 peratus (2022) kepada 5.0 peratus (2023) dan seterusnya 4.1 peratus pada 2024,” katanya.

Beliau berkata, menerusi Belanjawan 2025, kerajaan menyasar untuk mengurangkan defisit kepada 3.8 peratus daripada KDNK.-BERNAMA