Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memberikan pendedahan perundangan kepada warganya, khususnya di sekolah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pendedahan itu penting berikutan masih ada masyarakat yang tidak mempunyai kefahaman terhadap perundangan sedia ada.

Melalui kerjasama itu, katanya, pihak BHEUU akan mengadakan program bersama warga pendidik untuk memberikan kefahaman berhubung undang-undang khususnya yang membabitkan mereka.

Beliau berkata, BHEUU mempunyai akademi yang berfungsi memberikan latihan kefahaman kepada pihak berkaitan.

“Contohnya (bawah) Seksyen 19 Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak, (pengurusan) sekolah, pengetua kena tahu (bahawa) kalau ‘under reporting’ (tidak melaporkan), sekolah dan pengetua pun didapati salah bila tengok kanak-kanak berkenaan sudah lain sikit.

“Kadang-kadang di kawasan sekolah kadang-kadang ada isu. Dia tak nak campur, dia takut kena marahlah, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) tak puas hati, kita pun tak tahu kan. Tapi prosedur ada. 

“Itu sebab saya dengan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) semalam saya beritahu, kita nak bekerjasama. Saya akan tandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dan kita nak pergi setiap minggu ke pejabat Jabatan Pendidikan Negeri adakan program dengan pengetua, guru mengenai kefahaman undang-undang yang ada.

“Contohnya undang-undang buli, jenayah seksual, jadi supaya sekolah ni yang banyak berhadapan dengan kanak-kanak memahami ada undang-undang. Jadi dia peka. Itu objektif kita sebagai BHEUU,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang di sini, pagi ini.

Beliau berkata, ada kalanya orang awam tidak mengetahui mengenai hak mereka dalam undang-undang selain tidak menyedari perubahan dalam akta sedia ada.

Katanya, undang-undang yang hebat juga tidak boleh berfungsi sebaiknya jika rakyat yang sepatutnya dilindungi tidak tahu menahu mengenainya. 

“Undang-undang semua orang boleh faham tapi pelaksanaan, hak mereka, kerana cikgu-cikgu pun nak tahu hak mereka sebagai cikgu.

“Satu aspek, contohnya dalam Akta Gangguan Seksual saya tengok sekarang elemen gangguan seksual itu sudah berkurang kerana orang ramai sudah tahu ada akta khas.

“Mereka faham kalau salah cakap, ia jadi gangguan seksual. Dalam aspek buli pun sama. Bila rakyat tahu adanya sistem tribunal yang pantas mungkin dia kurang sikit (melakukan) buli kerana dia tahu sistem mahkamah ni makan masa, (ada) rayuan, rayuan silang. Jadi ini kepahaman kita bagi pada rakyat,” katanya.-BH Online