Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerangka Ekonomi MADANI menyediakan visi menyeluruh yang berteraskan nilai maruah, kemampanan dan kemakmuran bersama, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Bersama-sama, katanya instrumen ini mencerminkan komitmen yang bersepadu di seluruh negara untuk membina ekonomi yang kukuh, inklusif dan berdaya tahan.

Teras utama strategi ini terdapat tiga tonggak – menaikkan siling dengan memanfaatkan potensi pertumbuhan, inovasi dan kecemerlangan; meningkatkan lantai dengan menambah baik taraf hidup rakyat, mewujudkan perlindungan sosial dan tonggak ketiga, tadbir urus yang baik.

“Sektor kewangan memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi ini, daripada menyokong perniagaan kecil hinggalah memacu inovasi digital dan mengembangkan kewangan Islam.

“Dalam kerajaan terus memperkukuh daya tahan fiskal untuk memberikan perkhidmatan awam yang lebih baik, kami menjangka industri bekerjasama dengan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan sistem kewangan Malaysia kekal sebagai pemacu kemajuan (dan) bukan sumber gangguan,” katanya dalam ucaptama pada Simposium Resolusi Kebangsaan 2025 (NRS), anjuran PIDM di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan menghargai peranan PIDM dan terus komited untuk menyokong misinya serta mahu institusi kewangan berdaya tahan dan bersedia terhadap sebarang kemungkinan.

“Kestabilan yang kita nikmati hari ini dibina daripada pandangan jauh mereka yang terdahulu. Kini, menjadi tanggungjawab kita untuk memperkukuh asas itu,” katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata institusi kewangan hari ini beroperasi merentasi sempadan dan sistem perundangan, mendorong risiko dan impaknya meluas dengan cepat.

Beliau berkata, integrasi yang meningkat di rantau ini menekankan kepentingan kerjasama yang lebih erat dalam ASEAN.

Merujuk kepada kertas kajian terkini oleh Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Amir Hamzah berkata risiko sistemik dan penularan telah meningkat berikutan lonjakan dalam pengantaraan kewangan rentas sempadan antara rantau.

Secara keseluruhannya, katanya analisis terbabit mengetengahkan bahawa tuntutan dan liabiliti ASEAN+3 meningkat dengan ketara, dengan pertumbuhan signifikan dapat dilihat di rantau itu.

“Ini menjelaskan bahawa keupayaan tindak balas krisis serantau kita perlu terus maju melalui kerjasama, penyelarasan dan komunikasi yang lebih kukuh,” katanya.-BH Online