KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menafikan dakwaan dibuat Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) bahawa mereka menjadi jurucakap kepada pihak swasta berkait sewaan helikopter AW149.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari, berkata segala persoalan dibangkitkan Ikmal Hisham berkait sewaan helikopter AW149 dijawab dari segi teknikal, mahupun keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“(Tanah Merah) ada sebut tadi kita menjadi jurucakap kepada pihak swasta itu, sebenarnya ia tidak benar.
“Sebenarnya apa yang kita nak berikan adalah maklumat. Apa saja daripada persoalan yang dikemukakan Tanah Merah, kami jawab sama ada dari segi teknikal ataupun dari segi keupayaan kita,” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab dakwaan dibuat Ikmal Hisham bahawa MINDEF seolah-olah menjadi jurucakap pihak swasta berkait sewaan helikopter AW149, selain turut bertanyakan adakah ia memenuhi keperluan pengguna akhir atau end user.
Mengulas lanjut, Adly berkata, kenyataan berulang kali dibuat Ikmal Hisham berkait sewaan helikopter AW149 itu juga menimbulkan banyak persepsi.
“Persepsi banyak dibina di situ, saya fikir pemilikan industri ini adalah pemilikan pihak swasta tetapi pada masa sama, kita tahu bahawa kepentingan penggunaan helikopter itu adalah pada kita, agensi kerajaan ini.
“Ini yang saya sebutkan bahawa kita di MINDEF sama ada melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP) atau Majlis Industri Pertahanan, kita ada empat penyelarasan.
“Bahagian Industri Pertahanan kita libatkan dan kita boleh tahu apa industri yang kita wujudkan, yang mana terkait dengan industri pertahanan.
“Begitu juga dengan (Bahagian) Penyelarasan Teknikal, ia dilaksanakan pihak pengguna (user) sendiri kerana di perkhidmatan itulah yang menentukan teknikal (dan) teknologi apa yang mereka perlukan masa kini untuk menjaga keselamatan serta pertahanan negara,” katanya.-BH Online