Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengenal pasti beberapa peraturan yang perlu dipinda bagi membolehkan anak tanpa dokumen terus dibenarkan ke sekolah serta mendapat akses pendidikan lebih baik dan berkualiti. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akui, ketika ini wujud beberapa kekangan seperti keperluan untuk memiliki dokumen dan pengenalan diri, selain perlu merentasi beberapa agensi mendapatkan pengesahan sebelum anak-anak berkenaan diterima masuk ke sekolah.

“Soal pendidikan anak tanpa dokumen ini memang menjadi perhatian kita. Khususnya apabila ada keperluan supaya anak-anak ini dapat dikenal pasti daripada beberapa aspek.

“Apabila seorang daripada ibu atau bapanya adalah warganegara Malaysia atau dilahirkan di negara ini, jadi semua dokumen dan pengenalan diri perlu merentasi beberapa agensi untuk dapatkan pengesahan.

“Tetapi dalam masa sama, kita sudah mengenalpasti ada beberapa peraturan kita yang mesti dipinda dan dilihat sebagai progresif untuk melihat bagaimana kita boleh terus membantu anak-anak ini,” katanya menjawab soalan Abun Suit Anyit pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini. 

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, ketika ini, Kementerian Pendidikan melaksana sekolah bimbingan jalinan kasih di Kota Kinabalu, Sabah yang khusus membantu anak-anak tanpa dokumen bersekolah dan mendapat pendidikan rasmi. 

“Kita boleh lanjutkan program ini di kawasan tertentu termasuk di Belaga (Sarawak). Kita sudah buat di Kota Kinabalu yang membabitkan anak-anak tanpa dokumen ini yang sedang kita bantu dari segi pendidikannya

“Saya boleh minta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sediakan data ini supaya kita boleh lihat pelaksanaan sekolah bimbingan kasih ini boleh diperluas di kawasan lain termasuk Sarawak,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Hussin Ismail, Fadhlina berkata, Program Anak Kita yang dilaksana KPM sudah menunjukkan keberhasilan amat memberangsangkan. 

Katanya, bagi meningkatkan penguasaan asas 3M, sehingga Jun lalu, program ini sudah berjaya membantu seramai 15,543 murid di seluruh negara keluar dari kelas pemulihan.

“Bagi Program Pecutan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, seramai 8,855 daripada 9,906 murid (89 peratus) daripada 343 sekolah lulus dan layak menerima sijil SPM, melepasi sasaran awal, iaitu 6,909 murid. 

“Murid yang terlibat juga menunjukkan peningkatan gred yang signifikan dalam subjek teras, di mana seramai 7,425 murid (75 peratus) menunjukkan peningkatan gred bagi mata pelajaran Sejarah, 6,196 (63 peratus) murid bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, dan 5,646 (57 peratus) murid bagi mata pelajaran Matematik,” katanya. 

Sementara itu, Fadhlina berkata, program intervensi bagi kohort SPM 2025 sedang berjalan lancar, memanfaatkan 20,000 murid yang sudah menerima tablet bersama data untuk mengikuti kelas tuisyen dalam talian sejak Februari lalu.

“Dalam usaha menangani isu keciciran pembelajaran, program ini mencatatkan kadar kehadiran murid yang amat tinggi iaitu 99 peratus untuk peperiksaan SPM 2024. Ini disokong oleh pembangunan Program Cicir Sistem yang bermatlamat untuk mengembalikan murid ke sekolah dan memastikan mereka kekal bersekolah,” katanya.-BH Online