Orang ramai diseru untuk menghayati sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dengan menzahirkan penghargaan kepada atlet yang telah mengharumkan nama negara serta tokoh seni yang mengangkat budaya bangsa di persada dunia.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka adalah lambang keutuhan semangat patriotik yang mencerminkan keberanian, kegigihan dan cinta yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air.
“Semangat juang ini adalah terjemahan nilai kemerdekaan sebenar, bersatu padu dalam kepelbagaian, berpadu tenaga menjulang nama Malaysia. Setiap sorakan di stadium, setiap alunan karya seni dan setiap denyut nadi rakyat yang bersatu, semuanya mengangkat erti kemerdekaan yang sejati.
“Bersempena bulan kebangsaan ini, marilah kita terus menyemarakkan semangat cintakan tanah air dengan tekad untuk bersama-sama membina Malaysia MADANI yang lebih maju, berdaya tahan dan disegani di mata dunia. Merdeka! Merdeka! Merdeka!” katanya menerusi hantaran di Facebook
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut berkongsi video pendek memaparkan kejayaan beberapa atlet negara, termasuk Datuk Seri Lee Chong Wei dan Datuk Azizulhasni Awang serta tokoh seni seperti Datuk Michelle Yeoh dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.-Berita RTM