Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUBANG JAYA: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu membantu menyelesaikan masalah jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menegaskan perkara itu bukan sahaja harus difikir oleh pimpinan politik tetapi oleh semua pihak bagi memastikan negara terus maju tanpa ada yang terpinggir dan tersisih daripada arus pembangunan.

“Kita bicara soal kesalinghubungan, 4G dan sekarang 5G, kita bicarakan soal kecerdasan buatan (AI) tapi langsung tiada kaitan dengan majoriti rakyat yang terpinggir.

“…CelcomDigi beri sambutan yang sangat baik. Sekali lagi terima kasih. Sebab itu bila saya umumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 dan Belanjawan, saya tak umumkan hanya projek pembangunan atau perbelanjaan pembangunan oleh kerajaan sahaja… tidak.

“Tetapi oleh syarikat-syarikat utama dalam negara,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan program CD:NXT CelcomDigi di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi.

Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam menguasai teknologi AI yang menjadi teras kepada pembangunan tenaga manusia dan daya saing negara.

Katanya, keupayaan tenaga kerja untuk menguasai kemahiran baharu dan meneroka disiplin teknologi adalah kunci kepada kejayaan Malaysia dalam menghadapi transformasi digital global.

“Jika kita tidak lakukan 5G, AI, kita akan tertinggal, langkah kita menjadi lambat dan kebelakangan. 

“Anak-anak kita tidak akan mendapat ruang pekerjaan yang lebih baik jika negara tidak mampu mengangkat kemahiran, kepintaran dan ketrampilan mereka,” katanya.

Anwar berkata, AI kini menjadi tumpuan dunia, sama ada dalam aspek pendidikan, penyelidikan mahupun pembangunan industri dan Malaysia perlu memastikan rakyat diberi latihan yang mencukupi agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Di mana-mana saya bergerak, saya dengar AI dan digital, ia adalah penyumbang besar kepada produktiviti Dan disebabkan itu kita mesti belajar AI, memperkenalkan AI dan memahami cabaran yang disebut sebagai Productivity Paradox,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman lalu membuktikan bahawa penggunaan komputer dan teknologi baharu tidak semestinya menjamin lonjakan produktiviti tanpa usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja.

“Hal ini memaksa kita berfikir bagaimana kita boleh mengangkat keupayaan rakyat, melatih mereka dan menyediakan inovasi supaya benar-benar memberi kesan kepada pembangunan negara,” katanya.

Anwar turut menyarankan supaya penguasaan teknologi baharu perlu dilakukan tanpa mengabaikan identiti, budaya dan nilai Malaysia.

Program CD:NXT CelcomDigi dilihat sebagai salah satu inisiatif penting bagi melatih bakat tempatan agar mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan mengekalkan kedudukan Malaysia dalam arus ekonomi digital global.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahaya rasuah dan komitmen kerajaan untuk memastikan negara ditadbir dengan telus dan bersih.

Beliau menyifatkan rasuah sebagai barah yang sudah merosakkan negara dan berikrar untuk memeranginya tanpa kompromi.

“Suatu prinsip yang saya percaya mesti pastikan negara ini ditadbir dengan telus dan bersih kita rangkul sebagai kekuatan, tatakelola yang baik,” katanya.-BH Online