Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan berhenti berjuang untuk Palestin, termasuk meyakinkan negara luar untuk terus menyokong perjuangan memerdekakan negara yang dijajah selama puluhan tahun itu.

Mengakui kadangkala merasakan usaha itu melelahkan dan membuatnya hampir berputus asa, Perdana Menteri berkata, ia bukan alasan untuk beliau tidak bercakap mengenai Palestin dengan pemimpin dunia setiap kali bertemu mereka.

“Saya gunakan kuasa sedaya upaya saya, bercakap dengan pemimpin Islam, Jepun, China, India. Ke mana saya pergi, saya tidak pernah tinggalkan saudaraku di Gaza dan Palestin, merayu, mendesak.

“Memang ujian besar buat Gaza dan Palestin, umat Islam dan manusia yang cintakan keadilan, namun kita mesti mengorak langkah, jangan rasa mengalah.

“Ya, melelahkan, kadangkala mengecewakan, tidak ada harapan tetapi percaya dengan Allah, tidak lari daripada kita melangkah dalam perjuangan ini,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana: Malaysiaku Bersama Gaza pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza sempena Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Pada program yang dihadiri kira-kira 100,000 orang itu, Perdana Menteri turut menyempurnakan upacara pelepasan Delegasi Sumud Nusantara untuk Flotila Gaza, yang akan berangkat menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Ogos ini.null

Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza anjuran MAPIM dan CGM adalah kemuncak Karnival Sumud Nuzantara 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Merdeka, bermula semalam.

Antara pengisian program malam ini, termasuk solat hajat perdana yang dimamkan Sheikh Abdul Karim Omar Al-Fatani Al-Makki, bacaan Qunut Nazilah dan persembahan khas qasidah.-BH Online