Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MoT) menegaskan kenderaan roda tiga diubah suai yang gagal memperoleh Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) tidak dibenarkan untuk digunakan di jalan raya di seluruh negara.

Menteri, Anthony Loke, berkata ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara, terutama aspek keselamatan khususnya jika kenderaan terbabit membawa penumpang.

Bagaimanapun, katanya, MoT sentiasa terbuka membantu mana-mana pihak, termasuk petani dan pekebun kecil yang berhasrat menggunakan kenderaan roda tiga, bertujuan pengangkutan hasil pertanian atau kegunaan lain.

Beliau berkata, MoT melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga bersedia memberi penerangan dan bantuan teknikal berkaitan proses kelulusan VTA bagi model motosikal baharu yang ingin digunakan atau diubah suai.

“Kita sentiasa mahu memudah cara dan tiada masalah untuk menyelaraskan dengan kementerian atau agensi lain untuk kegunaan lain. Namun, syaratnya perlu mematuhi syarat dan peraturan demi keselamatan. 

“Kita tahu kenderaan ini penting untuk pelbagai sektor, termasuk pertanian. Saya harap, pihak terbabit boleh hubungi MoT, terutama JPJ untuk berbincang mengenai kaedah ia boleh disahkan dan diluluskan bagi penggunaannya.

“Ini sekiranya pihak terbabit rasa ada keperluan dan kepentingan kenderaan tiga roda digunakan atau diubah suai untuk kegunaan tertentu,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai kesediaan MoT menyelaras penggunaan kenderaan roda tiga dengan kementerian lain.

Dalam pada itu, Loke mengakui kenderaan roda tiga diubah suai turut digunakan dalam sektor pelancongan, mirip seperti TukTuk yang digunakan di Thailand walaupun penggunaannya tidak pernah diluluskan sebelum ini.

“Kalau ada keperluan khusus untuk kawasan pelancongan, berbincanglah, dapatkan VTA dan kelulusan supaya kita boleh benarkan. Kita bantu. Sebab saya tahu ada kawasan tertentu yang mungkin tidak sesuai untuk kenderaan lain.

“Kita harap pihak yang mahu menggunakan kenderaan ini berbincang dengan kita supaya dapat dibantu, sekali gus menjamin aspek keselamatan.

“Saya tak mahu kata kalau kita benarkan penggunaannya (dan) jika berlaku kemalangan, kerajaan pula dipersalahkan kerana membenarkan penggunaan kenderaan ini,” kata Ahli Parlimen Seremban itu.

Loke berkata, sebarang risiko susulan penggunaan kenderaan tiga roda gagal memperoleh VTA, perlu ditanggung individu terbabit memandangkan ia tidak mematuhi undang-undang, sekali gus menghalang daripada dilindungi insurans, membayar cukai jalan dan sebagainya.

“Kita nasihatkan pengguna, petani dan sebagainya supaya mendapatkan kelulusan supaya mereka dilindungi dan menggunakan kenderaan mengikut undang-undang secara sah. Kita sedia memberi penerangan untuk mendapatkan VTA.

“Ini adalah tugas dan menjadi tanggungjawab pembekal atau pengeluar yang mengeluarkan dan membuat ubah suai kenderaan roda tiga untuk mendapatkan kelulusan daripada JPJ.

“Kita sedia beri nasihat teknikal untuk memperolehi kelulusan sebelum kenderaan diubah suai,” katanya menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berhubung kesediaan MoT mengeluarkan garis panduan penggunaan kenderaan roda tiga diubah suai.

Menjawab soalan asal, Loke berkata, motosikal roda tiga jenis ‘side car’ (Kategori L4) adalah antara contoh motosikal tiga roda barangan didaftarkan dan dilesenkan untuk kegunaan di negara ini.

Motosikal jenis itu, katanya, dibenar digunakan di jalan raya dan hanya boleh didaftarkan sebagai kenderaan barangan, selain tertakluk kepada pemeriksaan berkala setiap enam bulan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan dan kelayakan teknikal kenderaan.

Beliau berkata, peraturan semasa menetapkan kenderaan roda tiga perlu didaftarkan, dilesenkan dan dipastikan selamat digunakan di jalan raya, jika digunakan untuk membawa barangan.

“Ia juga perlu mematuhi ketetapan pembinaan, spesifikasi dan ciri keselamatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah 121A, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.

“Memperoleh VTA daripada JPJ dengan mematuhi Peraturan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan syarat lain seperti ketetapan semasa, termasuk peraturan asap dan bunyi ditetapkan Jabatan Alam Sekitar.

“Mendapat kelulusan dan kebenaran daripada Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ bagi motosikal berdaftar yang dilakukan pengubahsuaian teknikal.

“Perlu didaftarkan sebagai kenderaan barangan bagi tujuan kegunaan komersial dan penunggang motosikal tiga roda barangan memerlukan Lesen Memandu Kelas C dan Lesen Vokasional GDL,” katanya.-BH Online