KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dana RM100 juta bagi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang semakin menderita akibat kekejaman rejim Zionis.
Perdana Menteri berkata, dana itu tambahan kepada bantuan RM100 juta yang diberikan Kerajaan MADANI dua tahun lalu, yang kemudian turut disumbang syarikat dan rakyat negara ini.
Perdana Menteri menegaskan, bantuan tambahan itu amat diperlukan rakyat Palestin berikutan bekalan makanan dan perubatan yang dihantar sebelum ini tidak sampai kepada mereka, akibat sekatan dan kekejaman Israel.
“Mereka (syarikat dan rakyat) sudah membantu sebelum ini dengan pelbagai bantuan tapi dengan (sekatan) zionis Israel, sampai busuk dan rosak barang,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka di sini, malam ini.
Perdana Menteri dalam pada itu menyelar sikap Israel yang terus-menerus menyekat bekalan makanan dan perubatan yang amat diperlukan rakyat Palestin.
“Apa jenis manusia ini… ini bukan manusia, ini haiwan.
“Orang lapar, mati kebuluran, bahan makanan di sempadan tidak boleh masuk. Orang sakit perlu ubat, ubatnya dipagar. Manusia paling teruk pun tidak seperti ini.
“Ini (Perdana Menteri Israel, Benjamin) Netanyahu dan kelompoknya, memang kurang siuman, zalim. Anak kecil, dua tahun berlari (didakwa) ini Hamas. Ini penyakit apa?” katanya.null
Perdana Menteri turut menggesa lebih banyak syarikat besar dan korporat menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin, selain belajar daripada nikmat keamanan serta kebebasan yang dikecapi untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.
“Saya akan minta rakan-rakan untuk terus prihatin kepada rakyat Palestin, mereka sebelum ini telah membantu dengan beri pelbagai bantuan namun Zionis telah hancurkan segalanya (bantuan sebelum ini)” katanya.
Acara malam ini menandakan kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025 yang berlangsung sejak Jumaat lalu anjuran bersama MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia dengan dinaungi Perdana Menteri selaku Penaung Sumud Nusantara.
Majlis malam ini turut diisi dengan solat hajat untuk pembebasan Gaza, tausiah peduli ummah oleh tokoh pendakwah ternama, bacaan Qunut Nazilah serta persembahan selawat oleh kumpulan qasidah Majelis AzZahir pimpinan Habib Ali Zainal Abidin Assegaf.
Terdahulu, pengisytiharan Deklarasi Sumud Nusantara dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery yang menggariskan komitmen teguh Malaysia dalam memperjuangkan kebebasan Palestin.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melepaskan Konvoi Sumud Nusantara 2025 untuk Flotilla Gaza yang menghimpunkan delegasi dari Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.-BH Online