Kulai: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengkaji untuk membangunkan satu sistem yang membolehkan amaran bencana dihantar terus kepada penduduk tanpa melalui perkhidmatan syarikat telekomunikasi.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, usaha membangunkan sistem amaran bencana itu sudah dicadangkan dan diharap dapat dimasukkan ke dalam Belanjawan 2026.
Beliau berkata, menerusi sistem berkenaan, notifikasi amaran bencana akan dihantar terus kepada penduduk di lokasi terjejas bencana dengan lebih cepat berbanding menggunakan SMS.
“SKMM akan membangunkan satu sistem supaya pada masa akan datang, SKMM boleh menghantar amaran mengikut lokasi yang berdepan bencana.
“Sekarang, kita perlu bergantung kepada perkhidmatan syarikat telekomunikasi untuk kirim SMS, tetapi akan datang, SKMM tengah kaji nak bangunkan perkhidmatan boleh hantar terus notifikasi selepas SKMM terima maklumat daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung satu-satu bencana yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Serahan Sumbangan Murid Cemerlang dan Pendidikan Pelajar di Dewan Terbuka Jalan Merbuk, Bandar Putra, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kulai itu berkata, amaran bencana yang dikirim menerusi SMS dan melalui syarikat telekomunikasi dilihat akan mengambil sedikit masa dan tidak tertumpu pada kawasan terjejas.
“Bila guna SMS, kita rasa macam cepat, tetapi bila ramai yang perlu terima mesej itu, ia tetap akan jadi ‘queue’ dalam sistem syarikat telekomunikasi itu, jadi ambil masa.
“Sistem baharu ini, ia akan hantar notifikasi, tidak perlu melalui sistem syarikat telekomunikasi. Sistem ini sudah diguna pakai di banyak negara termasuk Jepun.
“Kemudian kita akan terus fokus pada lokasi yang kita terima maklumat daripada NADMA, jadi notifikasi itu dapat dihantar dengan cepat ke kawasan itu. Kita lihat ia sangat berkesan dan berguna,” katanya.
Terdahulu, gegaran gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dilaporkan berlaku di Segamat 6.13 pagi tadi, manakala gegaran gempa bumi lemah kedua bermagnitud 2.8 direkodkan berlaku di Kluang, 9 pagi.
Nie Ching berkata, tiada aduan gangguan telekomunikasi diterima susulan bencana gempa bumi di dua daerah berkenaan.-Mymetro Online