KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan adalah antara kaedah akan digunakan bagi memastikan sistem perolehan negara khususnya membabitkan ketenteraan lebih telus dan berintegriti.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata langkah itu selari dengan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu kaedah lama dalam perolehan kerajaan diganti kerana berisiko membuka ruang kepada rasuah.
“Bagi memberi ketelusan kepada perolehan, kita akan memperkenalkan RUU Perolehan Kerajaan supaya semua urusan perolehan dibuat secara telus dan berintegriti.
“Insya-Allah, Perdana Menteri akan bentang dalam Parlimen dalam tahun ini juga,” katanya.
Shamsul Azri berkata demikian selepas merasmikan Program Integrity Fun Walk 2025 anjuran Institut Integriti Malaysia di Dataran DBKL di sini, hari ini.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, sistem perolehan terutama membabitkan ketenteraan perlu lebih telus bagi meninggalkan kaedah dan amalan lama yang membawa kepada unsur rasuah.
Katanya, perkara itu perlu mengambil kira kerjasama sepenuhnya pegawai tertinggi pasukan keselamatan dan pakar teknikal supaya mereka dapat meninggalkan cara lama yang merosakkan.
Sementara itu, Shamsul Azri memaklumkan program Integrity Fun Walk 2025 yang menerima penyertaan lebih 2,000 orang itu bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah menjadi sebahagian usaha memupuk amalan integriti.
“Alhamdulillah, pagi ini kita bersama-sama mempromosikan gaya hidup sihat untuk rakyat Malaysia. Seperti saya selalu sebut, rakyat sihat negara makmur.
“Namun lebih penting, pengisian kemerdekaan kita ialah jiwa yang telus, merdeka dan penuh integriti. Integriti itu satu kemestian, bukan pilihan,” katanya.-BH Online