Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Keselamatan negara tidak akan dikompromi meskipun Malaysia lantang menyuarakan sokongan terhadap Palestin di peringkat antarabangsa.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan terdapat peningkatan kemasukan elemen asing ke Malaysia, sebagaimana dinyatakan Ketua Polis Negara baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan situasi masih dalam kawalan pihak berkuasa.

”Memang tidak boleh dinafikan, sejak pendirian kerajaan dan khususnya Perdana Menteri yang begitu tegas dalam isu Palestin, ia menarik perhatian elemen luar. Tetapi pihak Polis Diraja Malaysia sentiasa melakukan pemantauan berterusan dan akan bertindak jika ada sebarang ancaman,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Gaza Time Tunnel Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis Ketua Pegawai Eksekutif Mapim Malaysia, Datuk Sani Araby Al-Kahery, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan aktivis-aktivis pembebasan Palestin dari dalam dan luar negara.

Menurut Fahmi, kerajaan sentiasa menerima taklimat keselamatan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan perkembangan situasi dikawal rapi.

”Aspek keselamatan tidak ada kompromi. Kita tidak boleh pandang ringan, tetapi keadaan adalah terkawal,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pendirian Malaysia dalam isu Palestin adalah berasaskan prinsip, bukan emosi, dan ia konsisten sejak sekian lama.

”Perdana Menteri sendiri telah memainkan peranan penting dalam mengubah pendirian beberapa pemimpin dunia. Malah kita lihat ada negara seperti Jepun yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Malaysia dan negara lain bagi membangunkan semula Gaza,” katanya.

Fahmi turut mengajak rakyat Malaysia untuk terus menzahirkan solidariti dengan Palestin melalui doa, kehadiran dalam program sokongan, serta penghasilan kandungan kreatif di media sosial sebagai simbol sokongan berterusan.

”Rakyat Malaysia antara yang paling konsisten menyokong Palestin. Pendirian kita jelas, kita mahu Palestin merdeka tanpa syarat,” tegasnya.-Berita RTM