Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (MINDEF) membuka semula tender penyewaan empat helikopter untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Sewaan itu dibuat selepas MINDEF membatalkan kontrak sewaan helikopter Black Hawk pada November tahun lalu, berikutan pihak syarikat gagal membekal dan menyediakan helikopter berkenaan mengikut tempoh ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata penilaian empat helikopter berkenaan akan dibuat dengan mengambil kira pandangan dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Tender baharu itu akan ditutup pada September ini. Kita tamatkan apabila syarikat itu gagal membekalkan Black Hawk dan kita turut mengenakan denda kepada syarikat itu.

“Oleh kerana ada keperluan TDM mempunyai helikopter ketika ini, pihak Kementerian membuka tender untuk penyewaan empat helikopter bagi kegunaan TDM.

“Kita akan lihat penilaian dan kita ambil kira pandangan yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” katanya pada sidang media selepas Majlis Beramah Mesra bersama masyarakat Cina Kota Tinggi di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, MINDEF akan meneliti dan menilai dengan terperinci tender baharu itu, termasuk tempoh hayat helikopter. 

“Jangka hayat helikopter adalah panjang dan itu sebabnya kita mahu sewa saja, tentunya tidak mudah nak dapat yang baharu,” katanya.

Minggu lalu, Sultan Ibrahim menitahkan MINDEF membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk yang sudah berusia lebih 30 tahun.-BH Online