Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAIPING, 24 Ogos -Malaysia memperkukuhkan kerjasama dengan Thailand dalam usaha memperhebat operasi membanteras aktiviti sindiket pengedaran dadah, susulan laporan mengenai harga dadah yang lebih murah di kawasan Sungai Golok.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerjasama strategik itu melibatkan aspek perkongsian maklumat, operasi bersama dan pembinaan kapasiti.

“Keputusan kita adalah untuk menutup semua pangkalan haram di Sungai Golok. Keputusan ini telah dibuat pada hujung tahun lalu dan mula dikuatkuasakan pada awal tahun ini. Hasilnya, setakat ini sebanyak 212 pangkalan haram telah ditutup.

“Ini bermaksud, kita telah memotong tali-tali yang digunakan sebagai jeti. Pangkalan-pangkalan haram ini sebelum ini digunakan untuk memunggah pelbagai barangan seludup seperti lembu, haiwan ternakan, barang keperluan, minyak masak dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Trong, di sini.

Tambah beliau, pihaknya memberi jaminan pasukan keselamatan terlibat akan sentiasa bersedia dan tidak ada sebarang kompromi terhadap aktiviti tidak bermoral tersebut.

Datuk Seri Saifuddin berkata, walaupun beberapa siri tangkapan dan rampasan berjaya dilakukan namun aktiviti penyeludupan dadah di sempadan bersifat dinamik.-Berita RTM