TELUK INTAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membuka peluang kepada pemaju perumahan swasta untuk menyerahkan tanah kepada kerajaan bagi membolehkan projek pembangunan bersepadu melalui Program Residensi Rakyat (PRR) dilaksanakan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, tawaran sama kepada kerajaan negeri yang memberikan tanah secara percuma kepada kerajaan Pusat bagi pembangunan perumahan PRR, menyaksikan sebanyak 32 bidang tanah diperoleh setakat ini.
Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, formula ‘menang-menang’ itu membabitkan pemberian tanah secara percuma kepada kerajaan, manakala kerajaan Pusat akan membawa projek perumahan rakyat berkonsepkan pembangunan bersepadu di tapak yang diberikan.
“Sekarang saya buka ruang ini kepada pemaju perumahan swasta…. Bukan saja kerajaan negeri, malah mana-mana pemaju sekiranya mereka hendak serahkan tanah kepada kerajaan, kami sudi terima.
“Pasukan teknikal akan kaji sama ada tanah di lokasi itu sesuai atau tidak untuk kita bawa projek PRR ke tapak berkenaan. Mulai tahun ini semua PRR kena jadi projek pembangunan bersepadu dengan pelbagai kemudahan yang ada, berbeza dengan dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek dan Galeri Jualan Bandar PR1MA Teluk Intan di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Esekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Mohamed Akmal Dahalan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff.
Kor Ming berkata, pemberian tanah oleh kerajaan negeri menyebabkan kementerian tidak perlu mengeluarkan peruntukan seperti untuk membeli tanah dan membayar premium seperti kebiasaan yang mana ia justeru rumah yang lebih berkualiti untuk rakyat dapat dibina dengan kos lebih rendah.
“Kita amat bersyukur atas kerjasama semua kerajaan negeri di mana KPKT sudah terima 32 keping tanah secara percuma. Dahulu, kementerian kena bagi peruntukan, beli tanah dan bayar premium kemudian tak ada duit untuk bina rumah yang berkualiti.
“Dasar baharu kita, menggalakkan formula menang-menang, apabila kerajaan negeri beri tanah kemudian kerajaan persekutuan bawa projek, yang mana kerajaan negeri untung, kerajaan persekutuan untung dan rakyat pun gembira,” katanya.
Kor Ming juga berkata, PRR dalam kawasan bandar tidak dijual sebaliknya hanya membabitkan sewaan pada kadar sangat rendah iaitu RM124 sebulan, manakala PRR dalam kawasan luar bandar mengamalkan konsep sewa beli membabitkan nilai serendah RM60,000.
“Ia sangat-sangat murah kerana subsidi kerajaan sangat besar untuk jaga golongan-golongan berpendapatan rendah, dan ini kita buka kepada semua rakyat,” katanya.
Sementara itu, Nga berkata, PRR pertama di Perak yang terletak di Tambun, Ipoh yang membabitkan kos RM150 juta akan siap dan dilancarkan pada akhir tahun ini dengan ia akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun.
“PPR pertama di Perak yang akan siap dan dilancarkan di kawasan parlimen Perdana Menteri, iaitu parlimen Tambun, dah nampak rekabentuknya sangat-sangat menarik dengan adanya Central Park (taman) dan lain-lain,” katanya.
“Seterusnya PRR di Teluk Intan pada tahun depan yang mana Kementerian Ekonomi sudah meluluskan untuk membawa 500 unit PRR, juga membabitkan peruntukan lebih kurang RM150 juta,” katanya.-BH Online