PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengadakan libat urus bersama pihak berkaitan berhubung cadangan menyemak semula Kaedah Harga Automatik (APM) dalam menentukan harga bahan api.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata cadangan dikemukakan akan dibawa kepada Kementerian Kewangan (MOF) dalam tempoh terdekat.
“KPDN ambil maklum permohonan dan rayuan syarikat serta pengusaha stesen minyak supaya kadar APM disemak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan kit Jalur Gemilang (Kluster Industri) dan pelancaran kempen Love Local di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.
Armizan berkata, KPDN berperanan dalam kawal selia pelesenan sektor peruncitan perkhidmatan bekalan bahan api iaitu PDA 1 dan Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) bagi stesen minyak dan syarikat minyak.
“KPDN bertanggungjawab memastikan bekalan petrol dan diesel sentiasa mencukupi, selain memastikan produk petroleum bersubsidi dapat dinikmati golongan sasar.
“Dasar dan penentuan harga runcit produk petroleum dan kadar APM adalah tanggungjawab MOF.
“Selepas kerajaan memutuskan dasar dan mekanisme penyasaran subsidi RON95 kelak, kita yakin MOF pertimbangkan kelulusan kadar baharu semakan APM.
“Ini penting bagi memastikan kemampanan perniagaan stesen dan syarikat minyak, sekali gus menjamin kestabilan perkhidmatan bekalan produk petroleum kepada rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (BUMIPEDA), Datuk Abd Aziz Sapian, dilapor mencadangkan kerajaan menyemak kaedah APM bagi menentukan harga bahan api supaya terus relevan dengan perubahan ekonomi dan teknologi.
Penyusunan semula kaedah itu dapat membantu memastikan penyasaran subsidi dilaksanakan dengan lancar, saksama dan mampu memelihara kestabilan bekalan serta kesejahteraan rakyat.
Mengenai program hari ini, Armizan berkata, KPDN turut menjayakan Kempen Jalur Gemilang bersama rakan strategik dalam kalangan pemain industri.
“Kempen ini membabitkan semua 4,320 stesen minyak di seluruh negara.
“Kempen ini adalah sebahagian inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) yang diselaraskan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2025,” katanya.-BH Online