Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mencontohi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam membangunkan semula infrastruktur pusat perniagaan serta penjaja kecil. 

Perdana Menteri berkata, kedua-dua pihak terbabit tidak boleh mengabaikan kepentingan peniaga kecil dan penjaja terutamanya Melayu di kawasan masing-masing.

“Saya gesa kerajaan negeri dan PBT, ambil contoh ini (Kuala Lumpur) kerana negara ini mesti maju, kena angkat martabatnya dengan pelaburan tinggi, dengan industri baharu, teknologi, digital, kecerdasan buatan (AI) dan kita tidak nafikan kepentingan itu (peniaga kecil).

“Saya harap gesaan ini didengar oleh pimpinan negeri dan PBT dan kita nak nilai kehebatan (pusat penjaja) di negeri lain contohnya Kuantan, Termerloh, Kota Bharu dan Alor Setar.

“Bukan hanya gedung-gedung baharu sahaja tetapi bagaimana kerajaan negeri dan PBT dapat tingkatkan kemudahan asas, suasananya yang bersih, serta mempunyai gerai, warung, pusat penjaja, peniaga kecil yang baik dan indah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Majlis Jubli Emas Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, di sini, malam ini. 

Dalam majlis berkenaan, Anwar turut meluluskan peruntukan RM500,000 untuk disalurkan terus kepada gabungan berkenaan untuk dimanfaatkan bagi penganjuran aktiviti.

Perdana Menteri berkata, meskipun penjaja dan peniaga Melayu dianggap kecil tetapi sumbangan kepada rakyat terutamanya kepada warga kota sangat besar. null

“Lebih 80 peratus rakyat ke gerai kecil. Mana mungkin kita atur dasar negara (tetapi) mengenepikan gerai warung kecil. Tak munasabah,” katanya. 

Disebabkan peranan yang dimainkan oleh penjaja kecil itu, Anwar memaklumkan, beliau sebelum ini menggesa DBKL memberi tumpuan membangunkan 60 hingga 70 gerai untuk dibangunkan semula serta diperbaiki. 

“Arahan terakhir saya kepada DBKL adalah dengan menyediakan satu medan selera kepada peniaga dan penjaja kecil Melayu yang hebat di Kuala Lumpur,” katanya.-BH Online