KUALA LUMPUR: Mesyuarat Malaysia-Australia High Level Committee Ke-5 telah dipengerusikan bersama oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles di Kuala Lumpur.
Melalui mesyuarat tersebut, kedua-dua Menteri bersetuju untuk memperkukuh kerjasama pertahanan dua hala di bawah Malaysia–Australia Joint Defence Program (MAJDP).
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua Menteri mengesahkan bahawa kerjasama ini akan diperkukuh melalui program pendidikan, latihan serta pembangunan kemahiran angkatan tentera.
Menurut kenyataan itu, kerjasama pertahanan Malaysia–Australia dibina atas sejarah bersama, kepercayaan, serta sikap saling menghormati, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memelihara kestabilan serantau, menghormati kedaulatan, mengutamakan undang-undang antarabangsa, dengan ASEAN sebagai teras utama.
Tahun ini amat bermakna bagi kedua-dua negara kerana memperingati tiga detik bersejarah: ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua yang menjadi titik awal kepada perkongsian pertahanan Malaysia-Australia; ulang tahun ke-75 sumbangan Australia semasa Darurat; serta ulang tahun ke-70 terjalinnya hubungan diplomatik Australia di Malaysia.
Dalam mesyuarat itu, kedua- dua Menteri mengulangi komitmen untuk meneruskan pemeteraian Aturan Keselamatan Maklumat (Security of Information Arrangement) agar perkongsian maklumat dapat dimanfaatkan untuk langkah seterusnya menjelang Mesyuarat HLC akan datang.
Kedua-dua Menteri turut menyokong inisiatif menggalakkan kerjasama antara industri pertahanan, institusi ketenteraan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran bagi memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pertahanan.
Selain itu, kedua-dua Menteri turut menantikan penganjuran 2025 Future Leaders’ Program di Malaysia, yang bertujuan meningkatkan pemahaman bersama mengenai cabaran keselamatan serantau dan global serta membuka ruang kerjasama pertahanan di masa hadapan.
Dalam perkembangan lain, kedua-dua Menteri turut mengesahkan komitmen untuk mempromosikan rantau Indo-Pasifik yang terbuka, stabil, inklusif dan telus, berteraskan penghormatan terhadap kedaulatan, pematuhan kepada undang-undang serta norma antarabangsa.
Kedua-dua Menteri turut membincangkan cabaran keselamatan baharu, termasuk keselamatan siber, keselamatan maritim, keganasan dan ekstremisme, yang memerlukan kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara.-BH Online