Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NILAI: Komitmen Kerajaan MADANI terhadap prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dibuktikan menerusi penyerahan kuasa yang lebih banyak kepada Parlimen, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, langkah itu termasuk pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang memerlukan Menteri Kewangan mengemukakan unjuran pertumbuhan serta pelan menurunkan kadar hutang negara untuk kelulusan Parlimen.

“Kerajaan mana yang sanggup menyerahkan kuasanya kepada Parlimen? (Usaha itu dapat dilihat) antaranya (melalui) Akta Tanggungjawab Fiskal.

“Maknanya kalau Menteri Kewangan umum dasar unjuran keperluan, turunkan kadar hutang dan Parlimen luluskan, kemudian tak dapat dilaksanakan, Menteri Kewangan kena bentang semula kepada Parlimen.

“Ini nak jadikan supaya dasar kerajaan itu penuh bertanggungjawab,” katanya ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat di Dataran Nilai, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan sudah membentangkan Akta Perolehan Kerajaan yang belum pernah dibentangkan pentadbiran terdahulu.

Beliau berkata, apabila dilulus dan diwartakan kelak, ia akan merangkumi semua projek kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan, negeri mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memerlukan ia mematuhi tatacara yang jelas.

“Melainkan soal keselamatan, nak beli radar, mesti ada kerahsiaan itu kita kecualikan, tetapi yang lain mesti ikut tender.

“Kalau Menteri Kewangan atau Perdana Menteri ada kepentingan, anaknya atau isterinya ada dalam syarikat itu dan dia bertindak mempengaruhi keputusan, maka dia boleh didakwa, dianggap seperti kesalahan,” katanya.

Beliau menegaskan, menerusi langkah itu, semua pihak daripada menteri mahu pun pegawai dan bahagian teknikal semua akan dipertanggungjawabkan. 

“Itu cara kita untuk memastikan tidak ada lagi amalan sakau dan menyeleweng. Hanya kerajaan yang kukuh dan berani sahaja sanggup menyerahkan kuasa kepada Parlimen membuktikan pentadbiran yang bertanggungjawab,” katanya.-BH Online