KUALA LUMPUR: Kira-kira 60,000 ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM85,000 dikesan cuba diseludup masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semalam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata ia dikesan oleh pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bertugas di Terminal 1 ketika pemeriksaan bagasi milik seorang warga Bangladesh.
“Pegawai JKDM mengesyaki imej imbasan empat bagasi milik seorang lelaki warganegara Bangladesh. Susulan itu, bagasi itu diserahkan kepada Pasukan Penguatkuasa Farmasi AKPS untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan terperinci, menemukan lebih 60,000 unit ubat-ubatan daripada 30 jenis berbeza yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
AKPS berkata ubat terbabit dipercayai dibawa masuk bagi memenuhi permintaan di pasaran gelap membabitkan pengguna warga Bangladesh.
Katanya, antara rampasan utama adalah ubat-ubatan yang mengandungi racun terkawal dan psikotropik, 1,000 tiub krim anti-kulat dan 20,000 biji ubat rawatan gastrik.
“Semua ubat-ubatan berkenaan dirampas dan diserahkan semula kepada JKDM untuk siasatan lanjut, akan dilucut hak dan dilupuskan dalam tempoh sebulan mengikut prosedur.
“Kejayaan ini menunjukkan kerjasama dan komitmen padu antara JKDM dan AKPS dalam mengawal pintu masuk negara.
“Pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras penyeludupan ubat-ubatan tidak berdaftar yang berisiko tinggi terhadap kesihatan dan keselamatan awam,” katanya.-BH Online
