Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan dijangka berkuat kuasa pada Jun atau Julai tahun depan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu perlu melalui banyak proses membabitkan pelbagai pihak antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Sekarang kita tengah buat persiapan, pindaan di Parlimen sudah selesai, tapi pelaksanaannya tahun depan sebab ia membabitkan perolehan perubahan format borang dan sebagainya.

“Sebelum ini hanya anak kepada bapa warganegara Malaysia secara automatik diiktiraf sebagai warganegara, manakala anak yang lahir daripada ibu warganegara tidak mendapat pengiktirafan sama, walaupun ibu yang mengandung dan melahirkan.

“Persoalan yang timbul ialah mengapa hak ibu warganegara Malaysia tidak diiktiraf setara dengan bapa?. Jadi kita dengar, maka kita pinda Perkara 14(1).

“Dengan pindaan ini, anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia secara automatik diiktiraf sebagai warganegara Malaysia tanpa perlu melalui proses pendaftaran yang rumit,” katanya ketika berucap di program Dialog Belanjawan 2026, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Saifuddin berkata, walaupun pindaan itu membawa kelegaan kepada ramai pihak, isu dua kewarganegaraan (dual citizenship) masih tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

“Sekiranya seorang kanak-kanak memperoleh dua kerakyatan melalui ibu dan bapa, undang-undang menetapkan apabila mencecah usia 18 tahun dia boleh pilih sama ada mahu kekal sebagai warganegara Malaysia atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, KDN dalam kenyataan memaklumkan, keselamatan negara kekal menjadi tumpuan bagi memelihara keamanan dan keharmonian negara. 

Menurutnya, sesi Dialog Belanjawan 2026 memfokuskan kepada empat bidang cabaran utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, pengurusan pendaftaran dan imigresen, pencegahan, rawatan dan pemulihan serta cabaran pengurusan. 

Pada masa sama, sesi Dialog Belanjawan 2026 KDN itu bakal mengkaji setiap input yang dikemukakan mengikut sudut pandang terkini dan harapan rakyat dalam aspek keselamatan bagi merangka inisiatif Belanjawan 2026. 

“Usaha ini diharap dapat memberi pembaharuan dan mempercepatkan hasrat Ekonomi MADANI melalui Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober depan selaras dengan tema Memacu Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat,” katanya.-BH Online