Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak berhasrat mewujudkan ‘kedai rakyat’ atau ‘Kedai MADANI’ di negara ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ini kerana KPDN mahu memfokus kepada pengukuhan dan peluasan kerjasama strategik dengan rangkaian sektor peruncitan sedia ada merangkumi pasar raya, pusat beli-belah serta kedai runcit, menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).

“Dalam kita menggerakkan PJRM pada fasa awal ini, kita memanfaatkan premis peruncitan sedia ada termasuk pasar raya, pusat beli-belah dan kedai runcit.

“Kita juga memikirkan kekhuatiran mereka bahawa jika wujud kedai khas, ia akan memberi kesan kepada perniagaan premis peruncitan berkenaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Armizan berkata, pihaknya juga membuka ruang kepada mana-mana premis peruncitan, kedai runcit, pasar raya dan pusat beli-belah yang ingin terbabit dalam PJRM.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa ada dua faktor penting akan dipertimbangkan berhubung perkara itu.

Faktor berkenaan ialah aspek lokaliti, iaitu sama ada premis berkenaan mempunyai akses meluas kepada rakyat untuk mengunjungi PJRM, dan premis terbabit perlu berupaya menawarkan unit simpanan stok (SKU) barangan yang mencukupi.

“Ia supaya apabila rakyat menghadiri sesuatu program PJRM yang dilaksanakan, mereka mempunyai pelbagai pilihan dan tidak perlu ke tempat lain untuk mendapatkan bekalan SKU yang mereka perlukan bagi kegunaan isi rumah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata, Kerajaan MADANI tidak akan menarik balik subsidi gas petroleum cecair (LPG).

Justeru, beliau berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan terus mendapat manfaat daripada subsidi berkenaan.-BH Online