KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menambah bilangan Pasukan Pemerhati Interim (IOT) ASEAN di sempadan Thailand-Kemboja hanyalah langkah sokongan tanpa sebarang implikasi campur tangan pihak luar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pasukan tambahan itu boleh diambil daripada kalangan pegawai pertahanan atau wakil kedutaan ASEAN di negara terbabit sekiranya pasukan sedia ada tidak mencukupi.
“Sebagai contoh, kita ada lapan (pasukan pemerhati) di Bangkok tetapi hanya ada dua di Phnom Penh. Jadi, kita putuskan bahawa ia perlu ditambah. Jika bilangannya terlalu kecil, kita boleh ambil daripada pertahanan IOT atau kedutaan untuk menyokong program ini.
“Tiada sebarang jangkaan lain. Jika membaca kenyataan itu, ia hanya menyebut supaya kita mulakan dengan kedutaan terlebih dahulu. Jadi, saya fikir perkara ini tidak menjadi masalah langsung,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran; serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Perdana Menteri mengulas kenyataan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, semalam, yang menolak cadangan Anwar supaya lebih ramai pemerhati antarabangsa dihantar untuk memantau gencatan senjata di Thailand.
Cadangan itu timbul susulan rundingan gencatan senjata Thailand-Kemboja yang dipersetujui pada 28 Julai lalu di Putrajaya, hasil inisiatif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Phumtham dipetik berkata, Anwar menghubunginya pada Selasa lalu dan mencadangkan penempatan pemerhati antarabangsa tambahan dengan alasan IOT ASEAN tidak mampu melaksanakan tugas besar itu secara bersendirian.
Bagaimanapun, Phumtham dilaporkan menolak permintaan itu dengan menegaskan konflik sempadan Thailand-Kemboja adalah isu dua hala, dan Thailand tidak akan membenarkan campur tangan pihak luar.
Phumtham turut menyatakan jika IOT ASEAN memerlukan lebih ramai anggota bagi operasi pemantauan, mereka mesti menggunakan atase pertahanan daripada kedutaan negara anggota ASEAN atau kakitangan daripada lapan kedutaan ASEAN yang terbabit.-BH Online