KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi tumpuan kepada beberapa perkara termasuk berkaitan prestasi kerajaan dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua Sekretariatnya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata menerusi mesyuarat diadakan, mereka bersetuju supaya kajian separuh penggal pencapaian Kerajaan Perpaduan yang sedang dijalankan di peringkat Jemaah Menteri dibentangkan kepada Majlis Perundingan Pimpinan.
Katanya, kajian itu penting dalam menghormati perspektif berbeza antara parti dalam gabungan berkenaan.
“Mesyuarat turut bersetuju untuk menilai pencapaian Kerajaan Perpaduan dan mengambil perhatian terhadap semua teguran terhadap kerajaan.
“Selain itu mesyuarat berkenaan turut memberikan perhatian mengenai usaha pemantapan ekonomi negara dan program demi kesejahteraan rakyat,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan mesyuarat diadakan jam 5 petang itu berlangsung hampir dua jam.
Ia turut dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pemimpin lain yang menyertai mesyuarat berkenaan ialah Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan. null
Mengulas mesyuarat berkenaan, Setiausaha Agung UMNO itu berkata ia turut menyentuh mengenai PRN Sabah.
“Dalam menghadapi PRN Sabah, kita dimaklumkan mengenai penubuhan Jawatankuasa Teknikal bagi meneliti aspek kerjasama dalam kalangan parti-parti Kerajaan Perpaduan.
“Selain itu mesyuarat turut merakamkan tahniah atas pencapaian Malaysia dan Perdana Menteri yang berjaya mewujudkan perjanjian perdamaian antara Thailand dan Kemboja,” katanya.-BH Online