PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan Datuk M Kumar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Aman, sambil menegaskan ia bukan isu perkauman sebaliknya dibuat berdasarkan kelayakan serta keupayaan individu memikul tanggungjawab.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak memiliki sebarang masalah dengan pelantikan terbabit selagi individu berkenaan mampu melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan berkesan.
“Itu pun ada kritik di Parlimen, beberapa Ahli Parlimen Pembangkang pernah bangkitkan bagaimana satu agensi ataupun badan penguatkuasaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahagian jenayah itu 90 peratus (adalah) Melayu.
“Ketuanya Kumar, India. Bagi saya, itu bukan masalah. Siapa yang rasa ada peranan, mampu, kendali dengan baik, dia tonjolkan. Ketua Polis Negara masih Melayu. Timbalan (Ketua Polis Negara) masih Melayu, pengarah-pengarah lain Melayu. Bagi saya, bukan jadi masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Seorang pemimpin pembangkang sebelum ini secara sinis merakamkan ucapan tahniah kepada Kumar selain mendakwa Malaysia sudah mula menerima konsep ‘Malaysian Malaysia’.
Pemimpin berkenaan juga menyentuh mengenai Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Datuk Johnny Lim Eng Seng yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau terkesan apabila masih ada yang mendakwa bahawa kuasa Melayu kian terhakis dan diserahkan kepada kaum lain.
“Tapi, ada yang mengatakan bahawa kuasa Melayu akan segera terhakis, semua kita serah pada Cina. Ini dialog yang akan berterusan dalam negara pelbagai kaum dan pelbagai agama.
“Sesetengah negara kalau tengok golongan minoriti itu terus terpelanting. Muslim minoriti di banyak negara, itu langsung tak dipedulikan, nak cari satu hakim, satu pegawai tinggi, satu pegawai tentera (pun susah). Tapi kita tak mahu jalankan program sebegitu (di negara ini),” katanya.-BH Online