Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited memperluas pelaksanaan program Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics ke kawasan pedalaman serta luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata langkah itu bagi memastikan tiada kumpulan tercicir daripada peluang pembangunan bakat dan minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“MOSTI telah merancang beberapa langkah strategik dan bersasar untuk memperluas capaian program yang dirancang ke kawasan pedalaman dan luar bandar, khususnya bagi Sabah dan Sarawak.

“Antaranya, pertama, pendekatan program outreach. Kedua, kerjasama strategik dengan agensi tempatan. Ketiga, penggunaan format hybrid dan mudah akses, modul pertandingan dan latihan asas turut ditawarkan dalam bentuk dalam talian dan mudah alih agar dapat diakses walaupun dengan infrastruktur digital yang terhad”, katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjelaskan pendekatan ‘outreach’ akan memberi keutamaan kepada daerah terpencil di samping melatih guru serta fasilitator luar bandar bagi membimbing pelajar dalam bidang robotik, pengaturcaraan, reka bentuk produk dan inovasi.

Dengan usaha itu, MOSTI yakin ia mampu mempercepatkan pengurangan jurang digital dan membina asas modal insan sains, teknologi, dan inovasi (STI) negara dalam kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman.-Berita RTM